PETALING JAYA: Usaha menanam sayur di tanah didakwa diceroboh di Puchong itu membabitkan modal besar bagi mendapat hasil lumayan.
Mengikut maklumat yang dikumpul Utusan Malaysia, beberapa pekerja memaklumkan kebun-kebun yang dikuasai beberapa warga tempatan dan warga asing itu menggunakan teknologi penanaman yang sistematik seperti sprinkler automatik, sistem perpaipan moden, dan tiang-tiang besi serta konkrit yang mengelilingi kebun.
Tinjauan dari luar kebun-kebun tersebut turut melihat sekurang-kurangnya lima pondok penempatan dan pusat pembersihan sayuran dibangunkan oleh pengusaha kebun sayur itu.
Selain itu, sebuah kebun mempunyai sebuah pondok khas yang digunakan sebagai dapur dengan dilengkapi dengan tiga dapur memasak, empat tong gas, sebuah peti sejuk dan beberapa buah periuk nasi.
Beberapa pondok di kebun itu turut mempunyai surat notis amaran dari pihak Pejabat Daerah dan Tanah Sepang yang ditampal.
Surat tersebut bertarikh 21 Julai, 2022 ditandatangani pegawai Penolong Pentadbir Tanah Sepang.
KEBUN HARAM
Bagaimanapun, penghuni yang tinggal berhampiran kebun haram itu mendakwa, operasi di kebun tersebut tidak ‘terjejas’ walaupun menerima notis tersebut.
“Saya tahu tiada tindakan sebab saya duduk di sini, dan kebun haram ini masih beroperasi seperti biasa. Sedangkan notis sudah diberikan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Sepang,” katanya.
Cerita penghuni itu, dalam satu perbualan dengan seorang warga Indonesia yang didakwa mengusahakan salah satu lot tanah diceroboh, yang dikenali sebagai Lasuwi, dia mengaku memperoleh pendapatan sebanyak RM3,000 sehari.
“Ini maklumat saya dapat tiga ke empat tahun dahulu, dan Lasuwi masih tinggal di tanah haram ini sampai sekarang. Maksudnya, dalam sebulan dia memperoleh pendapatan hampir RM100,000, dan saya sekeluarga menggelarnya sebagai saudagar sayur kaya raya,” katanya.
Pada masa sama, katanya, sayur-sayur yang ditanam di tanah tersebut, diedarkan di Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan.
“Saya turut diberitahu oleh pekerja kebun di sini, bahawa sayur dihantar ke pasar borong setiap hari,” katanya.
ADUAN
Kata penghuni itu, dia turut membuat aduan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) tentang kecurian elektrik didakwa dilakukan penceroboh pada awal tahun ini.
“Sewaktu aduan dibuat, TNB menyerahkan satu peta lokasi tanah diceroboh tersebut kepada saya. Dalam peta itu menunjukkan, di sebelah tanah diceroboh itu merupakan Plaza Tol Lebuhraya MEX, kilang SKS Coachbuilders Sdn. Bhd. serta kilang SDK Technology and Engineering,” katanya.
Sementara itu, ketika tinjauan Utusan Malaysia turut menyapa beberapa pekerja kebun yang mengakui mereka bekerja di kebun tersebut dengan gaji dibayar tauke Bangladesh .
Seorang pekebun yang ditemui bernama Sumiyati dari Surabaya, Indonesia berkata, dia digajikan oleh tauke warga Bangladesh bernama Jamal.
“Gaji saya sikit saja, RM30 sehari. Saya mula bekerja di kebun mulai 6 pagi sehingga 7 petang. Saya tinggal di rumah di kebun ini,” katanya.
Tiga pekerja kebun haram warga Bangladesh yang ditemui, Yusof, 21; Azad, 29; dan Lukman, 40-an pula berkata, tauke yang menggajikan mereka adalah warga tempatan, namun enggan mendedahkan namanya.
Masing-masing berkata, mereka bekerja di sini kurang dari tempoh satu tahun.
Lukman berkata, gaji yang diperoleh RM1,700 sebulan, dengan waktu bekerja mulai 6 pagi sehingga 6 petang. – UTUSAN










