KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membela diri pada 22, 23 dan 24 Februari tahun depan terhadap semua empat pertuduhan termasuk pertuduhan pindaan bersubahat melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta milik sebuah parti politik.
Tiga pertuduhan lain ialah menyalahgunakan harta RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dan dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan pemindahan wang sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid turut memerintahkan keterangan bela diri bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu didengar pada 13 dan 14 Mac serta 10 hingga 14 April 2023.
Pada prosiding tersebut, penyandang kerusi Parlimen Muar itu akan dipanggil sebagai saksi pertama pembelaan dan memilih memberi keterangan secara bersumpah daripada kandang saksi.
Azhar memutuskan bekas Menteri Belia dan Sukan itu membela diri terhadap kesemua pertuduhan selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
“Saya memutuskan demikian selepas meneliti keseluruhan keterangan pihak pendakwaan dan memberi pertimbangan maksimum yang ditetapkan oleh undang-undang,” ujar beliau ketika membacakan keputusannya.
Azhar turut menjelaskan kepada Syed Saddiq bahawa tertuduh mempunyai tiga pilihan iaitu sama ada memilih untuk berdiam diri, memberi keterangan di dalam kandang tertuduh iaitu keterangan secara tidak bersumpah atau memberi keterangan bersumpah di kandang saksi yang boleh disoal balas.
Syed Saddiq didakwa atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada melakukan pecah amanah dana RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.
Bagi dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].
Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.
Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin hadir mengetuai pasukan pendakwaan manakala peguam Gobind Singh Deo mengetuai pembelaan.
Kes itu turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, Noor Syafina Mohd Radzuan dan Mohd Shahrom Idris manakala peguam Datuk S. Ambiga, Haijan Omar dan Lim Wei Jeit juga mewakili Syed Saddiq.
Pada prosiding itu, Gobind memaklumkan pihak pembelaan akan memanggil 15 saksi termasuk Syed Saddiq memberi keterangan pada perbicaraan yang mungkin mengambil masa hampir dua minggu.
Sementara itu, Azhar menarik perhatian mahkamah bahawa beliau sedia maklum semua pihak akan sibuk menjelang pilihan raya dan mencadangkan perbicaraan ditetapkan tahun depan.
Dalam pada itu, Wan Shaharuddin memaklumkan, pihak pendakwaan tiada bantahan jika pembelaan berhasrat mengemukakan pernyataan saksi namun beliau memohon dokumen itu diserahkan dalam tempoh seminggu sebelum saksi memberi keterangan. –UTUSAN