Suami isteri dalang proses heroin ditahan 

Suami isteri dalang proses heroin ditahan 

SOFFIAN SANTONG (dua dari kiri) menunjukkan antara dadah yang dirampas daripada sindiket yang didalangi pasangan suami isteri dalam sidang akhbar di IPD Barat Daya, Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Polis berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah jenis heroin yang didalangi pasangan suami isteri menerusi serbuan di dua lokasi berasingan di Gelugor dan Bayan Lepas dekat sini, Selasa lalu.

Dalam operasi itu, polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 4,530 gram; pil yaba (309.54 gram); kafein (14,880 gram) dan peralatan memproses dadah dianggarkan bernilai RM81,330.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis bertindak menahan pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 43 dan 30 tahun itu di tepi jalan di Gelugor pada pukul 8.30 malam.

“Suspek lelaki merupakan warga tempatan dan bekerja sebagai penyembelih ayam di Pasar Balik Pulau manakala isterinya warga asing.

SERBU

”Polis merampas empat paket plastik berisi dadah seberat 1,810 gram bernilai RM24,250 bersama mereka ketika ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, di sini hari ini.

Menurut Soffian, hasil soal siasat  polis kemudian menyerbu sebuah rumah kampung yang disewa suspek di Kampung Bukit, Bayan Lepas di sini yang dijadikan makmal memproses dadah jenis heroin.

”Rumah ini dipercayai dijadikan makmal memproses dadah heroin sejak awal Januari lalu oleh pasangan suami isteri ini.

“Mereka juga disyaki menambah pil yaba di dalam heroin yang diproses ini untuk meningkatkan kekuatan heroin yang dihasilkan,” katanya.

Tambahnya, polis menemui pelbagai jenis dadah, bahan kimia dan peralatan untuk menghasilkan heroin di rumah berkenaan.

”Hasil risikan mendapati sindiket ini memasarkan heroin yang dihasilkan untuk pasaran tempatan dan kita masih siasat bagaimana mereka boleh menghasilkan dadah ini.

”Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek lelaki mendapati dia positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau manakala isterinya negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Soffian berkata, kedua-dua tangkapan ditahan reman enam hari dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada formula dadah serta bahan mentah bagi menghasilkan heroin itu diperoleh daripada sindiket lain.

“Selain itu, kita turut menyita sebuah kenderaan dan nilai rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan berjumlah RM108,330,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya