Sindiket pelacuran didalangi suami isteri tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket pelacuran didalangi suami isteri tumpas

POLIS menyerbu satu sindiket pelacuran didalangi pasangan suami isteri di Masai, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis negeri ini berjaya menumpaskan satu sindiket pelacuran yang didalangi sepasang suami isteri dalam satu serbuan ke atas sebuah hotel bajet di Masai, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, sindiket yang beroperasi sejak Ogos lalu itu didalangi seorang warga emas berusia 62 tahun dan isterinya yang berumur 48 tahun.

“Turut ditahan dalam serbuan pada pukul 2.30 petang itu ialah enam wanita warganegara asing berusia antara 33 hingga 54 tahun serta enam lelaki tempatan dan warga asing berusia antara 33 hingga 55 tahun.

“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan menjalankan aktiviti pelacuran pada waktu tengah hari bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Kita turut merampas kondom, tisu, tuala, losyen, buku log masuk serta wang tunai berjumlah RM978,” katanya, di sini hari ini.

Mohd. Sohaimi berkata, sindiket terbabit mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM130 bagi mendapatkan khidmat seks di premis berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 372 B Kanun Keseksaan kerana mencari langganan bagi maksud persundalan yang memperuntukkan hukuman penjara selama setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Siasatan juga dibuat mengikut Akta 373 Kanun Keseksaan kerana menguruskan rumah persundalan yang yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

“Selain itu, kita juga akan menyiasat mengikut Akta Imigresen 61(c) kerana lima daripada enam wanita dan seorang pelanggan warganegara asing tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah,”  katanya sambil memberitahu kesemua yang ditahan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Mohd. Sohaimi memberitahu, pihaknya menjalankan sebanyak lapan serbuan melibatkan sindiket pelacuran di kawasan pentadbirannya sejak awal tahun lalu.

“Dalam tempoh tersebut, seramai 33 individu termasuk 28 wanita yang dipercayai menawarkan perkhidmatan seks dan lima pelanggan ditahan dengan polis turut merampas wang tunai berjumlah RM10,800.

“Kita juga menjalankan 33 serbuan membabitkan premis hiburan dengan seramai 80 individu ditahan bagi membantu siasatan berserta wang rampasan berjumlah RM8,700.

“Antara kesalahan yang direkodkan adalah premis tersebut tidak memiliki lesen hiburan awam, iaitu 29 kes, manakala empat kes berkaitan kesalahan beroperasi melebihi had masa,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN