Sanusi umum `bonus' RM1,500 kepada penjawat awam Kedah - Utusan Malaysia

Sanusi umum `bonus’ RM1,500 kepada penjawat awam Kedah

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah mengumumkan `bonus’ RM1,500 kepada penjawat awam negeri ini yang akan diagihkan hujung tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata,  peruntukkan sebanyak RM8 juta disediakan bagi bantuan tersebut.

“Kerajaan negeri berterima kasih atas dedikasi dan kesungguhan tidak berbelah bahagi kakitangan awam negeri dalam melaksanakan dasar, program dan projek yang dirancang oleh kerajaan demi membangunkan Kedah. 

“Kakitangan awam negeri juga terlibat menguruskan bantuan semasa berlakunya bencana di negeri ini,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 Kedah pada Mesyuarat Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Dalam pada itu, kata Muhammad Sanusi, kerajaan negeri juga akan mempertimbang kenaikan gaji kepada 146 guru lantikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) selain memberi faedah kenaikan secara one-off  RM100 seorang seperti bakal dinikmati penjawat awam Persekutuan.

“Kerajaan negeri menerima keluhan dan luahan guru-guru lantikan kontrak yang tidak menerima kenaikan gaji tahunan sebab terikat dengan kontrak. Terdapat sebilangan guru ini tidak menerima kenaikan sejak enam tahun lepas. Kajian kenaikan gaji guru ini akan disiapkan tahun depan,” katanya.

Sementara itu, tempoh zon bebas berniaga yang berakhir hujung tahun ini akan dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun depan selain mengenal pasti beberapa kawasan yang berpotensi untuk dikembangkan menjadi pusat penjaja kecil dengan kemudahan yang lebih selesa kepada penjaja dan pelanggan.

“Kerajaan negeri akan membantu usahawan seperti ini melalui bantuan menyediakan kiosk di lokasi yang sesuai. Kerajaan negeri mengeluarkan dasar zon bebas berniaga bagi membantu golongan terkesan semasa pandemik Covid-19.

“Kita mendapati pelaksanaan dasar ini membantu golongan penjaja meneruskan kehidupan. Tempoh kebenaran dasar ini akan berakhir 31 Disember tahun ini, prihatin dengan kegusaran mereka, kita bersetuju melanjutkan tempoh kebenaran zon bebas berniaga sehingga 31 Disember 2023,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya