ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor perlu berjiwa besar dan berani menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk menilai keupayaan pentadbirannya dengan turut membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secepat mungkin.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, seorang pemimpin tidak akan takut atau mencari jalan melengah-lengahkan masa bagi mengadakan pilihan raya, sekiranya mereka telah menjalankan amanah dengan baik.
Katanya, Muhammad Sanusi wajar mengambil kira pelbagai faktor yang menyulitkan keadaan sekiranya sesi undian Parlimen dan DUN diadakan secara berasingan.
“Selaras dengan pembubaran Parlimen, Pergerakan Pemuda UMNO Kedah mendesak kerajaan negeri untuk turut mengambil langkah terhormat membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak.
“Walaupun Menteri Besar serta Pas sebelum ini menyatakan Kedah hanya membubarkan DUN tahun depan, keputusan berkenaan perlu dikaji semua dengan mengambil kira pelbagai faktor kesulitan sekiranya pilihan raya Parlimen dan DUN diadakan berasingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, keputusan untuk mengadakan pengundian di peringkat Parlimen dan DUN secara berasingan melibatkan kos yang tinggi.
Keadaan itu juga katanya, turut membabitkan masa serta tenaga kerja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pelbagai agensi kerajaan.
“Kos logistik akan meningkat, begitu juga kos yang terpaksa ditanggung parti-parti politik.mTindakan itu tidak hanya menyusahkan pengundi yang terpaksa mengundi dua kali hanya dalam tempoh beberapa bulan, malah akan turut menyebabkan mainan politik berpanjangan,” katanya.
Justeru, katanya, Muhammad Sanusi wajar menjadi pemimpin berhemah tinggi dengan turut membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya dijalankan secara serentak. – UTUSAN










