PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad berharap Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) dapat dibentangkan di Parlimen oleh kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) nanti.
Menurutnya, secara prinsipnya, memorandum mengenai RUU itu dipersetujui di peringkat Jemaah Menteri pada 26 Ogos lalu.
“Setakat ini, kertas cadangan RUU itu berada di peringkat Pejabat Peguam Negara, namun, ia tidak sempat dibentangkan selepas Parlimen dibubarkan.
“Justeru, saya berharap kerajaan baharu yang dipilih nanti dapat meneruskan usaha ini sekali gus memperkukuh bidang kuasa jenayah syariah di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Agensi dan Apresiasi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Idris dilaporkan berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat status dan kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini dan sebarang usaha memperkasakannya sedang dan masih dilakukan secara berterusan.
Katanya, antara usaha kerajaan termasuk memperkasa undang-undang, peningkatan kompetensi pegawai, pembangunan prasarana mahkamah, pewujudan hierarki baru mahkamah dan peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan.
“Malah, pada Jun lalu, kerajaan sudah menubuhkan semula Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) bagi meningkatkan status dan kedudukan Mahkamah Syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Jawatan kuasa ini akan melihat aspek penggubalan, penyemakan, pindaan dan penambahbaikan undang-undang Syariah; pengurusan dan penstrukturan semula Mahkamah Syariah,” katanya. –UTUSAN