KUALA LANGAT: Pembangunan yang dilaksana FELCRA Bhd. di Selangor berjaya menaikkan nilai pasaran hartanah luar bandar sehingga ada yang mencecah sehingga RM1 juta bagi setiap 0.4 hektar.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, di negeri ini, FELCRA Bhd. membangunkan tanah seluas 1,827.33 hektar tanah dengan tanaman sawit yang memberikan manfaat kepada 2,274 orang peserta.
“Nilai pasaran hartanah ini meningkat naik menerusi proses perbandaran yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui FELCRA Bhd.
“Dalam usaha meningkatkan kualiti dan memartabatkan masyarakat luar bandar, KPLB memfokuskan kepada pelaksanaan projek atau program ‘touch points’ yang dapat memberikan manfaat menyeluruh kepada rakyat menerusi pembangunan prasarana, ekonomi, perumahan dan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Karnival Mini Aspirasi Keluarga Malaysia di Kolej MARA Banting hari ini.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, dalam program Rancangan Malaysia (RMK) Ke-12, KPLB menyalurkan peruntukan kepada FELCRA Bhd. hampir RM162 juta yang akan dimanfaatkan untuk program-program menaik taraf infrastruktur ladang, ameniti sosial dan program ekonomi luar bandar.
“KPLB menyambut baik aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup masyarakat serta menjadikan kawasan luar bandar lebih selesa didiami dengan penyediaan pelbagai kemudahan dan aksesibiliti sama seperti di kawasan bandar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Bajet 2023 untuk KPLB meningkat sebanyak empat peratus atau hampir RM424.9 juta berbanding tahun 2022.
“Ia sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan Keluarga Malaysia melaksanakan agenda kesejahteraan rakyat di luar bandar.
“Berdasarkan kepada jumlah berkenaan saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di atas peruntukan RM10.93 billion kepada KPLB dan ia merupakan bajet yang inklusif dan menyeluruh dalam memastikan tiada golongan yang tertinggal termasuk B40 dan warga luar bandar,” katanya. –UTUSAN