Resolusi atasi penipuan dalam talian - Utusan Malaysia

Resolusi atasi penipuan dalam talian

MOHAMAD ALI Mohamad (kanan) menyampaikan cenderahati daripada Parlimen Malaysia kepada wakil Hotel La Crista, Banda Hilir, Melaka selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat, Majlis Mesyuarat Dewan Negara. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat, Majlis Mesyuarat Dewan Negara akan menyerahkan beberapa resolusi kepada kerajaan bagi menangani isu penipuan dalam talian yang semakin berleluasa di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, lima mesyuarat yang diadakan setakat ini berjaya merumuskan beberapa pendekatan, bukan sahaja menangani isu tersebut, tetapi juga menyekat daripada berlakunya penipuan dalam talian.

Menurutnya, pihak jawatan kuasa mendapatkan banyak maklumat daripada Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan juga mangsa penipuan daripada Persatuan Siswazah Wanita Malaysia.

Beliau berkata, turut membantu adalah Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) dan Persatuan Pengguna Negeri Melaka.

“Hasil daripada pandangan dan maklumat daripada semua pihak dirumuskan dan beberapa syor akan dikemukakan kepada kerajaan dalam masa terdekat.

“Isu penipuan dalam talian dilihat sangat membimbangkan kerana ia membawa mudarat kepada rakyat termasuk mereka mengalami kerugian jutaan ringgit.

“Berdasarkan perangkaan yang diperoleh, kes jenayah ini mencatatkan peningkatan. Usaha pencegahan perlu dilaksanakan dengan lebih komprehensif dan memastikan isu penipuan dalam talian ini dapat diatasi dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sebuah hotel di Banda Hilir di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara berkata, resolusi itu lebih tertumpu untuk memastikan isu penipuan dalam talian dapat diatasi sepenuhnya.

“Hasil daripada siri prosiding dan mesyuarat yang diadakan sebanyak lima kali itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Dewan Negara Penggal Ketiga tidak lama lagi,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.