Remaja autisme sambung pengajian di UUM mahu jadi penyampai

Remaja autisme sambung pengajian di UUM mahu jadi penyampai radio

NUR Irdina Fatini Rosli yang menghidap penyakit autisme memeluk ibunya, Khairiah Abdul Kadir ketika mendaftar kemasukan di Inapan Siswa DPP Petronas di UUM, hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Walaupun disahkan menghidap autisme sejak 15 tahun lalu, tidak melemahkan semangat Nur Irdina Fatini Rosli menggapai impiannya untuk bergelar penyampai radio setelah ditawarkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini.

Nur Irdina Fatini, 20, remaja yang mempunyai kelebihan bertutur lima bahasa itu memberitahu, di sebalik kekurangannya sebagai penghidap sindrom asperger (AS), dia berazam untuk menjayakan impian tersebut sebagai pelajar Sarjana Muda Komunikasi.

“Saya tak sangka diterima di universiti ini dan saya sangat gembira serta teruja. Saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental di sebalik kekurangan diri. Saya akan mencuba terbaik.

“Saya pilih jurusan komunikasi kerana merasakan ini kursus yang paling disenangi saya. Saya bercita-cita nak jadi penyampai radio nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi pendaftaran pelajar baharu UUM sesi 2022/2023, di sini hari ini.

Ditemani keluarga termasuk ibunya, Khairiah Abdul Kadir, 59, anak bongsu daripada lima beradik itu memberitahu dia akan berusaha sedaya upaya untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus.

“Mulanya saya sangat bimbang kerana ini kali pertama saya berjauhan dengan keluarga tetapi Insya-Allah saya akan cuba berdikari sebaik mungkin,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelbagai kesulitan dan kesempitan hidup termasuk sebagai remaja tanpa warganegara sebelum ini, menjadi pembakar semangat kepada Muhammad Omar Mokhtar Abd. Rahman, 20, dari Pendang yang berpeluang melanjutkan pengajiannya di UUM.

Katanya, dia akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan kecemerlangan berterusan sepanjang tempoh empat tahun pengajiannya.

“Alhamdulillah impian untuk sambung belajar itu dapat juga tak kisah di mana-mana tetapi UUM ini merupakan salah satu institusi pengajian tinggi awam yang terkemuka. Insya-Allah saya akan berikan yang terbaik dalam jurusan yang saya dapat ini agar dapat keputusan cemerlang setiap semester dan tidak mahu sia-siakan biasiswa yang ditawarkan UUM,” katanya.

Menurut Muhammad Omar yang melanjutkan pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Sumber Manusia, dia juga meletakkan harapan tinggi untuk memperbaiki kekurangan diri dan keluarga di sebalik kekurangan dirinya.

Nasib Muhammad Omar sebelum ini meraih perhatian ramai apabila berdepan kekangan untuk menyambung pengajian walaupun mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) lalu.

Selain kemiskinan, remaja berkenaan juga hampir berputus asa apabila berhadapan dengan masalah tidak mempunyai kad pengenalan akibat tiada dokumen lengkap mengenai ibunya.

Selain cemerlang dalam STPM, Muhammad Omar juga meraih keputusan terbaik dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) iaitu 4A 1B, Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), 7A, 2B, 1C manakala meraih keputusan 5A, 3B, 2C dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya