Rekod BN dan Pejuang jadi penentu di Jerlun - Utusan Malaysia

Rekod BN dan Pejuang jadi penentu di Jerlun

OTHMAN Aziz (kiri) beramah mesra bersama hadirin yang hadir ke program sembang santai di PDM Putat di Jerlun, Kubang Pasu di sini hari ini. -UTUSAN/MOHD RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Rekod perkhidmatan antara wakil rakyat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Barisan Nasional (BN) kepada penduduk Jerlun menjadi penentu kepada keputusan yang bakal dibuat pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Senator Datuk Othman Aziz berkata, beliau yakin rakyat di kawasan itu sudah mula merindui perkhidmatan ditawarkan BN ketika Ahli Parlimen sedia ada, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sangat jarang kelihatan di Parlimen tersebut.

Katanya, selaku penduduk di kawasan luar bandar yang memerlukan pembelaan dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi dan sosial, rakyat di kawasan tersebut sudah tentu tidak mahu memilih seorang wakil rakyat yang tidak kelihatan wajahnya di situ.

“Ketika saya menjadi wakil rakyat di sini dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh pula diwakili Datuk Abu Hasan Sarif juga dari UMNO, kami berusaha keras menangani pelbagai isu melibatkan banjir kilat, air pasang besar dan perkara bekalan elektrik serta air di luar bandar melalui pentadbiran tersusun.

“Tetapi, selepas PRU14 pada 2018, datang wakil rakyat selain BN dan mereka tampak gagal melaksanakan apa yang sepatutnya. Disebabkan itu, saya yakin rakyat mula merindui perkhidmatan BN di Parlimen ini, ketika ini.

“Saya fikir rakyat Jerlun sudah mula memahami dan menginsafi bahawa mereka tak mahu seorang wakil rakyat yang tak pernah nampak muka di sini. Ini menyusahkan rakyat dan perkara itulah yang sedang berlaku di Jerlun,” katanya selepas sesi pertemuan santai bersama ketua dan pengundi Pusat Daerah Mengundi Putat di sini, hari ini.

Mukhriz yang juga Presiden Pejuang mengumumkan untuk terus mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun dalam PRU15 dan memohon diberikan kepercayaan untuk sekali lagi berkhidmat di kawasan itu.

Mengulas lanjut, Othman berkata, 90 peratus daripada pengundi atau penduduk di kawasan itu merupakan golongan pesawah dengan mereka memerlukan seorang wakil rakyat yang sentiasa mendengar keluh-kesah serta isi hati seorang petani.

“Golongan ini perlukan perhatian dan bantuan dari masa ke semasa dan disebabkan itu Insya-Allah BN akan berusaha memberi penjelasan mengenai calon terbaik yang boleh mewakili mereka bersandarkan fakta dan bukannya fitnah.

“Sebelum 2018, rakyat pernah diwakili kami daripada BN dan selepas itu mereka diwakili pula oleh Mukhriz daripada Pejuang. Saya fikir rakyat boleh menilai keadaannya dan kami pulangkan kepada rakyat untuk membuat penilaian sebelum diterjemahkan di kertas undi,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya