Pulangkan mandat kepada rakyat, elak ketidakharmonian - Utusan Malaysia

Pulangkan mandat kepada rakyat, elak ketidakharmonian

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembubaran Parlimen Ke-14 yang diumumkan semalam adalah untuk menoktahkan suara-suara yang  meratib keabsahan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap dengan memulangkan semula mandat kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bahkan tindakan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membantah supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini membelakangkan institusi Perdana Menteri yang dilantik oleh Seri Paduka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

Menurut beliau, bahkan sejak akhir-akhir ini juga  ada dalam kalangan Jemaah Menteri yang membuat kritikan secara terbuka terhadap keputusan dan dasar-dasar kerajaan.

“Seperti yang saya jelaskan dalam Perutusan Khas semalam, pembubaran Parlimen Ke-14 ini adalah untuk menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap dengan memulangkan semula mandat kepada rakyat.

“Keputusan ini juga adalah rentetan terhadap perkembangan politik semasa tanah air di mana 12 Menteri menunjukkan sikap tidak wajar, mengutuskan warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

KETIDAKHARMONIAN

“Justeru, pembubaran ini bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan. Tindakan menteri-menteri ini jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya telah diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sekaligus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan media Istana Negara yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan kekecewaan terhadap perkembangan politik semasa tanah air.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin mengesahkan beliau antara 12 barisan menteri PN yang mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian supaya PRU15 tidak diadakan tahun ini.

Menurut Ismail lagi, selain itu tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan musuh utama PN adalah Barisan Nasional (BN) telah mengundang bibit-bibit perpecahan, sedangkan partinya turut menganggotai Kerajaan.

Ujarnya, Muhyiddin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) pernah membuat kenyataan yang menyarankan agar Parlimen dibubarkan kerana mendakwa kerajaan gagal dalam menguruskan negara dan ekonomi dengan baik.

“Kerajaan hanya mampu berfungsi dengan baik melalui kebersamaan dan kesepakatan dalam memberikan perkhidmatan serta manfaat terbaik kepada Keluarga Malaysia. Negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk mendepani cabaran mendatang,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU15.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya