TUMPAT: Agihan kerusi antara Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bersama Gabungan Tanah Air (GTA) di negeri ini masih belum dibincangkan walaupun pihaknya sudah mempunyai calon-calon di kawasan tumpuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, parti yang ditubuhkan sejak 8 Mei 2019 lalu sudah memulakan gerak kerja di negeri ini sudah berjalan lebih setahun secara senyap. Calon-calon sudah dikenal pasti cuma belum selesai pembahagian kerusi bersama parti-parti komponen GTA.
“Kita tidak tergesa-gesa dan tidak kecoh seperti lain-lain parti dalam urusan pembahagian kerusi, malah, GTA bukan dari kalangan yang suka berebut-rebut. Kita istiqamah dengan agenda GTA iaitu menang pilihan raya dan mendapat mandat rakyat.
“Sesiapa sahaja dalam kalangan parti-parti komponen GTA boleh menjadi calon dan akan mendapat sokongan penuh. Namun, misi lebih penting di Kelantan adalah mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri,” katanya selepas melancarkan Kursus Jatidiri Pusat Daerah Mengundi (PDM) Putra Parlimen Pasir Mas di Pejabat Perhubungan Putra Negeri Kelantan di sini hari ini.
Ibrahim memberitahu, pihaknya sudah selesai melaksanakan kursus-kursus kepada jentera piliha raya bagi empat kawasan Parlimen di Kelantan sebagai persediaan PRU15.
Katanya, Putra menyediakan 500 hingga 700 jentera pilihan raya bagi satu-satu kawasan Parlimen bergantung kepada jumlah PDM.
“Pembahagian jentera terdiri daripada enam orang golongan muda iaitu dua Wira, dua Wiranita dan dua Wirawati berserta enam jentera dewasa yang menjadikan jumlah keseluruhan 12 jentera pilihan raya di setiap PDM.
“Ini merupakan jentera barisan hadapan Putra yang bertanggungjawab menguruskan kerja-kerja kempen dan perkara-perkara berkaitan gerak kerja pilihan raya apabila tibanya PRU15 nanti,” ujarnya.
Ibrahim berkata, setakat ini Putra sudah bersedia sekurang-kurangnya di lima daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan. –UTUSAN