PRU15: PDRM persiapkan 80,000 pegawai, anggota - Utusan Malaysia

PRU15: PDRM persiapkan 80,000 pegawai, anggota

POLIS siap siaga menjelang PRU15
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 80,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan digerakkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka tidak lama lagi.

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, PDRM sudah bersedia dari semua aspek dan yakin mampu menjadikan PRU15 berlangsung dengan lancar.

Sumber berkata, pasukan itu akan digerakkan sebaik sahaja menerima maklumat pembubaran Parlimen daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Persediaan ini melibatkan semua aspek dan sudah pasti PDRM sentiasa dalam keadaan bersiap siaga,” katanya sumber.

Untuk rekod, kekuatan PDRM berjumlah 137,574.

Utusan Malaysia semalam melaporkan spekulasi tarikh PRU15 semakin hangat susulan beberapa perkembangan yang menguatkan kemungkinan pem­bubaran Parlimen akan berlaku tidak lama lagi.

Debaran lebih memuncak apa­bila mesyuarat Majlis Ter­tinggi (MT) UMNO pada 30 September lalu sepakat memutuskan PRU15 perlu diadakan tahun ini juga.

Perkembangan terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan perjumpaan khas dengan semua ketua bahagian termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Ini merupakan himpunan terbesar dan mungkin yang terakhir UMNO sebelum Parlimen dibubarkan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang melakukan lawatan kerja ke Pulau Pinang turut berkata, pasukan sentiasa membuat persediaan rapi dari segi sumber manusia dan aset bagi memastikan kelancaran proses PRU15.
Menurut beliau, PRU15 boleh diadakan pada bila-bila masa dan polis sudah bersedia.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN