PETALING JAYA: Perlis dan Pahang mengesahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dengan DUN.
Setakat pukul 6 petang semalam, dua negeri lagi yang belum mengesahkan adalah Perak dan Pulau Pinang.
Perak belum mempunyai keputusan walaupun Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad selesai menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah buat kali kedua sebelum solat Jumaat semalam.
Saarani pada Rabu lalu memaklumkan, Sultan Nazrin belum memberi perkenan untuk DUN Perak dibubarkan bagi membolehkan PRU15 diadakan.
Bagi Pulau Pinang, keputusan sama ada DUN negeri itu dibubarkan atau tidak akan diumumkan secara rasmi.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, DAP Pulau Pulau Pinang sudah mencuba sedaya upaya mengemukakan hujah terbaik untuk membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya diadakan secara serentak.
Selain seruan daripada rakyat, memudahkan aspek gerak atur logistik menjadi antara faktor-faktor yang dipertimbangkan untuk membubarkan DUN Pulau Pinang.
Terdahulu, DUN Pahang menjadi DUN pertama yang dibubarkan berkuat kuasa semalam bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak dengan PRU15.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan pembubaran DUN itu pada sesi menghadap Rabu lalu.
Selepas Pahang, DUN Perlis turut bubar berkuat kuasa semalam selepas Menteri Besarnya, Datuk Seri Azlan Man mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri menyerahkan segala urusan pilihan raya selanjutnya kepada Suruhanjaya Pilihan raya (SPR). – UTUSAN










