PADANG BESAR : Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi ‘panas’ kebelakangan ini apabila UMNO mula menuntut kawasan tradisi MCA itu untuk diletakkan calon mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kemelut tersebut bakal menyukarkan peluang Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi berkenaan kerana pada pilihan raya lalu, BN hanya menang tipis 142 undi.
Dalam pertembungan empat penjuru pada PRU14, calon BN, Teh Chai Aan memperolehi 2,726 undi mengatasi calon DAP, Teh Seng Chuan (2,620 undi), calon Pas, Kamis Yub (2,291 undi) dan wakil Bebas, Yaacob Man (132 undi).
Menjelang PRU15, Perikatan Nasional (PN) menerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal meletakkan antara calon terkuatnya iaitu Izizam Ibrahim di kerusi itu.
Jika Izizam yang juga Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar bertanding di situ, ia bakal memberi cabaran hebat kepada BN dan berpeluang cerah untuk menang.
KERJA-KERJA
Nama Izizam bukanlah asing di Padang Besar dan sudah lama melakukan kerja-kerja di lapangan. Izizam juga cukup dekat dengan masyarakat setempat.
Selepas tewas di Parlimen Padang Besar dalam PRU14, Izizam terus melakukan rutinnya turun padang bagi mendekati masyarakat selain menghulurkan bantuan. Malah, pola sokongan pengundi juga menampakkan beliau lebih disenangi berbanding calon lain.
BN perlu sepakat dalam menentukan calon terbaik di situ kerana jika tersilap langkah, kerusi DUN berkenaan boleh jatuh ke tangan parti lain khususnya PN yang berkelebihan jika menampilkan ‘calon’ boleh menang itu.
Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebelum ini berkata, UMNO perlu bertanding di DUN Titi Tinggi kerana MCA gagal meraih undi kaum Cina di kawasan tersebut pada PRU14.
Kerusi DUN berkenan dijangka menyaksikan pertembungan lima penjuru apabila dikhabarkan Parti Warisan Sabah (Sabah) turut mempertaruhkan calon terkuat iaitu bekas wakil rakyat di situ, Francis Khaw Hock Kong.
Apa pun percaturan, DUN Titi Tinggi bakal menjadi antara kerusi panas dalam PRU15. Adakah BN mampu mempertahankan kerusi berkenaan atau tumbang di situ?
Walaupun BN telah menang di kerusi tersebut sejak ia mula dipertandingkan pada tahun 1974, namun peluang dilihat terbuka pada kepada mana-mana parti lain merampas kawasan itu.
Sebagai rekod, sehingga Ogos lalu, kawasan berkenaan mempunyai 13,383 pengundi berdaftar.- UTUSAN









