PM perlu beri jaminan Dewan Rakyat terus bersidang- Kit Siang -

PM perlu beri jaminan Dewan Rakyat terus bersidang- Kit Siang

LIM KIT SIANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengumumkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan bersidang seperti yang dijadualkan iaitu sejak 3 Oktober lalu sehingga 7 Disember depan.

Ia bagi memastikan tidak akan ada sebarang cubaan untuk memendekkan sidang perbahasan dan kelulusan Bajet 2023 di Parlimen, sama ada di peringkat di Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara melalui pembubaran Parlimen.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, Ismail Sabri perlu sedar, pembatalan proklamasi darurat di dua kerusi Parlimen di Batu Sapi dan Grik dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bugaya, Sabah, akan terus menyemarakkan spekulasi mengenai pembubaran Parlimen selepas pembentangan Bajet 2023.

“Amat tidak bertanggungjawab untuk mengadakan pilihan raya umum ketika negara sedang berhadapan dengan musim tengkujuh dan bencana banjir, di mana terdapat kemungkinan kehilangan nyawa dan kerosakan berbillion ringgit harta benda.

“Seorang Perdana Menteri yang membubarkan Parlimen dalam keadaan seperti ini akan diingati  untuk tindakan buruk ini selama bergenerasi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Kit Siang, beliau telah menekankan bahawa Ahli-ahli Parlimen, tanpa mengira parti, perlu melindungi maruah dan nama baik Parlimen Malaysia dan tidak boleh membiarkan 38 orang Ahli Parlimen (dari UMNO) untuk mencemarkan nama Parlimen semata-mata kerana pimpinan ‘kluster mahkamah’ mahu melarikan diri daripada hukuman penjara akibat kesalahan rasuah mereka.

“Tidak menjadi perkara yang membanggakan buat Ismail Sabri atau Malaysia apabila persoalan mengenai sama ada Parlimen akan dibubarkan atau tidak ini telah berjaya melumpuhkan kerajaan, dengan para Menteri yang tidak tahu sama ada mereka perlu ke Parlimen atau meninggalkan Parlimen.

“Kerana inilah saya telah meminta Ismail Sabri untuk mengumumkan yang keutamaan kerajaan pada masa ini adalah krisis ekonomi yang dihadapi rakyat akibat peningkatan harga barangan dan penyusutan nilai ringgit dan juga untuk menyiap-sediakan negara menghadapi musim tengkujuh dan bencana banjir.

“Pada tahun lalu, bencana banjir telah meragut 54 nyawa dan menyebabkan kerosakan yang bernilai RM6.5 billion. Sepatutnya tumpuan sekarang ialah bukannya untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Tumpuan terhadap persoalan sama ada Parlimen akan dibubarkan sebelum atau selepas pembentangan Bajet 2023 perlu dialihkan ke arah perkara lain,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya