PKR bertanding lebih banyak kerusi Parlimen, DUN di Perak

PKR bertanding lebih banyak kerusi Parlimen, DUN di Perak

TAN Kar Hing (dua dari kiri) pada sidang akhbar mengenai Himpunan Harapan Perak Bangkit di Pejabat PKR Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: PKR mengesahkan bertanding di lebih banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengarah Pilihan Raya PKR Perak, Tan Kar Hing bagaimanapun berkata, jumlah sebenar kerusi yang ditandingi parti itu masih belum boleh didedahkan bagi menghormati Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Katanya, secara umum semua kerusi yang dimenangi parti-parti komponen PH pada pilihan raya lalu akan kekal status quo.

“Bagi kerusi yang sebelum ini ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), ia telah dibincangkan di meja rundingan. Masing-masing (parti) ada hak untuk tuntut semua kerusi.

“Setakat ini saya boleh katakan bahawa PKR masih lagi akan bertanding di kerusi yang lebih di Perak untuk Parlimen dan DUN. Jumlahnya saya tidak boleh kongsikan hari ini, apa pun kita kena hormat kepada Majlis Presiden,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat PKR negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PKR negeri, Mohamad Hairul Amir Sabri.

Sementara itu, mengulas hasrat DAP untuk bertanding di lebih kerusi di Perak, Kar Hing berkata, setiap parti ada hak untuk membuat permintaan berikutan terdapat satu dua kerusi lagi yang belum dimuktamadkan.

Katanya, pembahagian kerusi perlu dilakukan secara strategik termasuk melihat kelayakan dan peluang calon untuk menang.

“Memang ada hak untuk DAP tuntut kerusi tetapi kali ini PKR sendiri lihat bukan setakat parti tetapi latar belakang, kelayakan dan peluang kemenangan seseorang calon yang akan bertanding pada kali ini.

“Bukan soal parti hendak bertanding di mana saja, tapi lihat kepada peluang kemenangan calon itu sendiri. Sebelum ini berlaku pengkhianatan, orang hilang kepercayaan dan keyakinan. Jadi kalau mahu tuntut sesuatu kerusi kita harus berlaku adil dan saintifik,” katanya.

Menerusi laporan media kelmarin, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memaklumkan parti itu akan bertanding di lebih kerusi Parlimen dan DUN di Perak melibatkan kawasan majoriti pengundi Melayu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah kerusi tambahan itu secara terperinci. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×