‘PH tak perlu berkempen jika MCA bertanding di Alor Setar’

‘PH tak perlu berkempen jika MCA bertanding di Alor Setar’

MOHD. Yusof Ismail (kanan) bersalaman dengan jemputan yang hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Alor Setar di Bangunan UMNO Kedah di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: UMNO Bahagian Alor Setar menjangkakan calon Pakatan Harapan (PH) akan menang mudah di Parlimen itu sekiranya MCA diberi laluan untuk terus bertanding di kerusi tradisi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Ketuanya, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, keadaan itu dijangka berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk MCA dilihat berdepan kesukaran untuk mendapatkan undi daripada orang Melayu yang merupakan pengundi majoriti di Parlimen itu.

Justeru, katanya, UMNO Bahagian Alor Setar akan terus mendesak hingga ke saat terakhir agar kerusi tersebut diserahkan kepada UMNO yang dilihat memiliki peluang lebih cerah menawan Parlimen berkenaan untuk Barisan Nasional (BN).

“Kalau MCA bertanding juga di Parlimen ini, PH akan menang dalam keadaan amat selesa. Calon mereka boleh tidur, makan nasi dan dakap isteri di rumah tanpa perlu kempen teruk-teruk kerana kita sama kita akan ‘bunuh’ calon sendiri.

“Cukup calon PH keluar naik kereta dan tunjuk gambar saja untuk menang jika MCA bertanding di sini, tetapi kalau UMNO diberikan ruang, PH kena sinsing lengan jugalah kalau nak menang.

“Minggu lepas saya dah ke Kuala Lumpur dan minggu depan akan pergi lagi untuk terus bersuara kerana bagi saya kerusi ini sepatutnya sudah lama diserahkan kepada UMNO kerana kami telah mendampingi pengundi di sini sejak sekian lama terutamanya sewaktu pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Alor Setar di Bangunan Tunku di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, ketika ini terdapat cadangan daripada beliau untuk menyerahkan jawatan Pengarah Pilihan Raya BN Alor Setar kepada MCA, sekiranya parti tu terus diberikan mandat untuk bertanding di Alor Setar.

“Perkara itu belum diputuskan kerana masih di peringkat awal (kerana) saya bimbang kalau UMNO pegang jawatan tersebut dan BN kalah nanti, kami pula dituduh sabotaj parti, apatah lagi ketika saya sendiri masih belum bebas sepenuhnya daripada hukuman penggantungan yang ditangguhkan sebelum ini.  

“Jadi, kalau MCA bertanding, mereka ketuailah dan kami akan bantu. Kami tak boleh pimpin kerana dalam keadaan ini, takut kita buat kerja tak sepenuh hati tetapi kalau mereka tak tahu cara buat orang suka, datanglah bertanya supaya kami boleh tunjukkan caranya,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, UMNO Bahagian Alor Setar tidak kisah walau siapa pun yang diangkat menjadi calon parti itu jika diizinkan bertanding di Parlimen berkenaan kerana tumpuan utama mereka adalah untuk memenangkan kerusi tersebut untuk BN.

“Kami sudah hantar nama lima individu untuk diangkat menjadi calon UMNO di Parlimen ini. Terserah kepada pucuk pimpinan buat keputusan kerana bagi kami, ini bukan soal manusia sebaliknya Allah jualah yang menentukan.  

“Sebelum ini pun ada yang sudah dapat watikah tetapi tak dapat jadi calon. Kalau tuhan tetapkan orang itu jadi wakil rakyat, dia akan menanglah, Insya-Allah,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya