Perjuang isu pendidikan: Cikgu Fadli tolak tawaran parti politik -

Perjuang isu pendidikan: Cikgu Fadli tolak tawaran parti politik

MOHD. FADLI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cikgu Matematik Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Mohd. Fadli Salleh tidak akan termakan dengan pujuk rayu dan ajakan mana-mana parti politik yang ingin mengheret dirinya ke pentas politik bagi menyuarakan tentang isu pendidikan.

Mohd. Fadli yang tidak menyangka isu yang disuarakannya akan menggemparkan Malaysia berkata, dirinya lebih selesa untuk berjuang dengan cara sendiri dan sesekali tidak teruja dengan tawaran wang ringgit, pangkat dan juga kedudukan.

“Siapa sangka kes saya menggemparkan satu Malaysia. Saya pun tidak sangka. Hingga ramai ahli politik, menteri bahkan Perdana Menteri turut sama membicarakannya. Ramai tokoh-tokoh ternama, nama besar dalam arenolitik turut serta menyatakan sokongan mereka.

“Terima kasih semua yang ikhlas menyokong. Cuma saya bukan anak kecil yang boleh dipergunakan oleh mana-mana pihak. Saya tidak teruja dengan tawaran wang ringgit, pangkat dan kedudukan.

“Saya tidak teruja bila orang ternama, ada kedudukan, ada pangkat menyebut nama saya, mengajak saya berjumpa. Saya tidak mudah terpedaya dengan janji manis orang politik memuja muji saya, dan nak tolong saya dengan ikhlas katanya.

“Kalian yang jujur nak tolong perjuangkan isu pendidikan kita agar disegani dan dihormati, teruskan perjuangan kalian. Masukkan apa saja yang perlu dalam manifesto untuk menarik sokongan rakyat,” katanya dalam hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Mohd. Fadli mendakwa dirinya berdepan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat daripada Kementerian Pendidikan selepas lantang menegur berkaitan isu persekolahan. 

Antara permasalahan yang dibangkitkan membabitkan silibus ‘kayangan’ tahun 1 terutamanya berkaitan subjek Matematik, jadual padat dan isu beg sekolah berat sehingga menarik perhatian Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.

Menurut Mohd. Fadli, orang politik boleh membawa isu pendidikan ke pentas politik dan realisasikan setiap cadangan baik dan bernas untuk kebaikan rakyat Malaysia. 

“Namun, untuk heret saya naik ke pentas politik kalian, tidak sama sekali. Tak kira parti mana, Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN), atau mana-mana sekali pun, saya takkan hadiri. Cukuplah saya berjuang dengan cara saya begini.

“Sebaik saya melangkah naik pentas politik mana-mana pihak kerana teruja dengan kemasyhuran, teruja dengan janji manis orang politik, saat itu saya tewas dengan diri sendiri. Saat itu, walau sokongan bergema di pelosok negara, saat itu sebenarnya saya telah memijak henyak maruah saya sendiri.

“Saat itu saya telah membelakangi prinsip diri saya. Saat itu, orang akan meludah dan mengeji walau sebahagian lain memuja muji. Saat itu orang akan simpulkan perjuangan saya ada niat tersembunyi.

“Sebab tu saya takkan sesekali melangkah naik ke atas pentas politik mana-mana pihak.  Saya tahu, perangkap kemasyhuran dan banyaknya sokongan ini sangat bahaya untuk saya,” katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau rasa takut jika merasakan dirinya sentiasa betul dan benar kerana hadirnya sokongan yang ramai dan mahu menghindarkan sikap ujub dan takbur dalam diri. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya