Pengarah syarikat mengaku salah jual alat komunikasi tidak

Pengarah syarikat mengaku salah jual alat komunikasi tidak diperakui

CHONG Hui Yee (kiri) keluar dari Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka selepas mengaku bersalah menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gara-gara menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui dua tahun lalu, seorang pengarah syarikat barangan elektronik didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap orang kena saman (OKS), Chong Hui Yee, 38, yang mengaku bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh dan syarikatnya, Leader Electronic & Electrical Trading Sdn. Bhd. didapati melakukan kesalahan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui iaitu satu unit audio video sender jenama HUIYISHUN, model YS-100.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari di No. 60, Jalan Kota Laksamana 4, Taman Kota Laksamana pada 4 September 2020.

Bagi kesalahan itu, OKS didakwa mengikut  Peraturan 16 (1) (b) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang dibaca bersama Peraturan 16 (3) peraturan-peraturan sama dan Seksyen 244 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sabit kesalahan, OKS boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

OKS yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan peralatan itu tidak mencatatkan jualan tinggi dan syarikatnya mengalami kerugian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mai Zairani Zainal Abidin memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kesalahan lazim yang dilakukan, selain alat terbabit boleh mengganggu frekuensi radio pengguna lain.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM4,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap pertuduhan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya