Penerima VSS Utusan berhak dapat bayaran penyelesaian - Utusan Malaysia

Penerima VSS Utusan berhak dapat bayaran penyelesaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) yang terlibat dalam Skim Pemisahan Sukarela (VSS) empat tahun lalu, berhak mendapat baki bayaran penyelesaian hasil penjualan 29 hartanah milik syarikat tersebut.

Ketetapan itu dicapai susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang mengisytiharkan 29 harta milik UMMB termasuk empat harta tambahan iaitu bangunan-bangunan di Jalan Chan Sow Lin dan kilang percetakan di Bangi dekat sini, dikategorikan sebagai harta-harta amanah.

Keempat-empat harta itu terletak di Lot 187 dan 268, 46M, Sec 92, Jalan 5 Off Jalan Chan Sow Lin, No. 44, Jalan Utusan Off Jalan Chan Sow Lin, Lot 285, Jalan 5, Seksyen 92 Jalan Chan Sow Lin dan Lot 6, 3 Jalan P/10 Kawasan Perusahaan S/S10, Bangi.

Hakim Nadzarin Wok Nordin ketika memberi keputusan turut  berpuas hati bahawa penerima VSS dikategorikan sebagai penerima manfaat (beneficiaries), bukan pemiutang.

UMMB turut mempunyai empat anak syarikat iaitu Utusan Publications & Distributor Sdn. Bhd., U Print Sdn. Bhd., Utusan Land Sdn. Bhd., Juasa Holdings Sdn. Bhd. dan Mediamony Sdn. Bhd.

“Oleh kerana mahkamah berpendapat penerima VSS adalah penerima manfaat harta-harta amanah, mereka tidak terlibat dalam proses likuidasi, jadi mereka berhak mendapat manfaat daripada harta-harta tersebut,” kata Hakim Nadzarin.

Keputusan itu dicapai dalam saman pemula difailkan oleh UHY Advisory iaitu pelikuidasi bagi pihak UMMB (dalam penggulungan sukarela pemiutang) bagi mendapat arahan mahkamah sama ada hartanah milik syarikat itu terhadap penyelesai untuk membayar wang penyelesaian VSS, diiktiraf sebagai harta-harta amanah.

Dalam saman pemula tersebut, Rosmanizam Abdullah dan 159 pemegang VSS dinamakan sebagai defendan-defendan.

MENGESAHKAN

Sementara itu, peguam Abu Daud Abd. Rahim yang mewakili defendan-defendan ketika dihubungi wakil media mengesahkan keputusan itu disampaikan kepada pihak-pihak terbabit menerusi emel.

Dalam keputusannya, Hakim Nadzarin turut berpendapat, UMMB dan anak-anak syarikatnya boleh diklasifikasikan sebagai entiti ekonomi perseorangan.

Beliau berpuas hati, surat bertarikh 8 Oktober 2019 daripada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan (ketika itu), Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang menyatakan, persetujuan kedua pihak dicapai bahawa pembayaran VSS akan dibuat menggunakan dana hasil penjualan hartanah milik Kumpulan Utusan.

“Latar belakang ini menunjukkan bukti komitmen plaintif untuk menyelesaikan bayaran VSS.

“Bukti di hadapan mahkamah apabila dibaca bersama menunjukkan hartanah lain milik plaintif dan/atau Kumpulan Utusan termasuk dalam definisi atau senarai harta amanah,” jelas hakim berkenaan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, sebarang hartanah yang dicagarkan kepada bank atau institusi kewangan tertakluk kepada kedua-dua pihak tersebut.

Hakim Nadzarin berkata, penerima VSS selaku penerima faedah harta amanah (selepas ditolak perkara-perkara seperti cukai keuntungan harta tanah, penilaian, yuran pelikuidasi, yuran guaman dan pelbagai bayaran) akan menerima bayaran penyelesaian yang akan dimasukkan ke dalam akaun firma guaman yang dilantik sebagai pemegang amanah VSS.

Penghakiman itu menyatakan, seramai 709 kakitangan UMMB ditawarkan dan menerima VSS manakala Jawatankuasa Pemegang Amanah ditubuhkan pada 24 Disember 2018 bagi memastikan hasil jualan harta dimasukkan ke dalam akaun sebuah syarikat guaman selaku pemegang amanah.

Menurut penghakiman tersebut, sebanyak lapan kali pembayaran dibuat oleh UMMB kepada bekas kakitangan manakala masih terdapat baki tunggakan sebanyak RM59,403,367.97 perlu dijelaskan kepada semua penerima VSS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN