Pelantikan Rishi Sunak ditolak Mapim -

Pelantikan Rishi Sunak ditolak Mapim

Mohd. Azmi Abdul Hamid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk dan menolak sekeras-kerasnya pelantikan Perdana Menteri Britain yang baharu, Rishi Sunak.

Menurut Presiden Mapim, Mohd.Azmi Abdul Hamid, pihaknya berpendirian sedemikian berpunca dari kenyataan Rishi yang telah menggelar Baitulmaqdis sebagai ‘ibu kota bersejarah Israel’ dan pendiriannya yang berikrar untuk memerangi gerakan ‘Boycott, Divestment and Sanctions’ (BDS) oleh rakyat Palestin terhadap rejim Zionis.

“Rishi yang merujuk negara Yahudi sebagai ‘suar harapan yang bersinar,’ menyatakan keazaman untuk menghapuskan ‘bencana’ antisemitisme adalah gambaran bagaimana Perdana Menteri United Kingdom (UK) kekal sebagai penyokong konsisten Yahudi Zionis sejak Deklarasi Belfour.

“Pengisytiharan Rishi sebagai penyokong kuat Israel dan rakan komuniti Yahudi UK bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sesiapa yang duduk di kerusi Perdana Menteri hanya akan disokong jika pendirian menyokong Israel diterima sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Utusan Malaysia melaporkan hari ini, Rishi mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi Perdana Menteri Britain berketurunan India pertama dan termuda dalam arena politik negara ini.

Kejayaan Sunak turut diraikan pemimpin dan rakyat India termasuk Perdana Menteri, Narendra Modi, apabila laman sosial dibanjiri dengan ucapan tahniah buat pemimpin berusia 42 tahun itu yang memperoleh kejayaan istimewa ketika perayaan Deepavali disambut di seluruh dunia.

Mohd. Azmi berkata, Rishi mengambil inisiatif Donald Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai “ibu kota bersejarah yang tidak dapat dipertikaikan” Israel.

Jelas Mohd.Azmi lagi, UK kembali mengembalikan peranannya untuk memperjuangkan Jerusalem sebagai ibu kota Israel dan bersedia untuk menjadi alat di bawah Israel.

“Kami mengingatkan Rishi bahawa dia bermain dengan api semasa menjadi Perdana Menteri.

“Mengisytiharkan sokongannya yang tidak berbelah bahagi kepada Israel dalam beberapa hari pertama memegang jawatan menandakan bahawa UK akan berkonfrontasi dengan umat Islam di UK dan dunia,”katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menyeru semua umat Islam di seluruh dunia untuk bangkit dan menentang Perdana Menteri fasis UK.

Beliau menambah, pengisytiharan perangnya terhadap BDS dan anti-semitisme menggambarkan kesediaannya untuk menjadi PM boneka bagi zionis Israel.

“Kami menuntut apa-apa dasar yang akan dia lakukan dalam mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel mesti ditentang dalam tempo yang paling kuat,”katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya