JOHOR BAHRU: Pekerja yang bertanggungjawab menyebabkan lebih 1,500 telur ayam pecah di sebuah pasar raya di Tampoi di sini berasa sedih dan bersalah atas kejadian berkenaan kerana menyedari betapa pentingnya barangan berkenaan.
Seorang saksi kejadian, iaitu Mohamad Romli Naim, 26, memberitahu, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10 pagi, semalam.
Menurutnya, pekerja tersebut bertanggungjawab menghantar bekalan telur ayam yang baharu tiba daripada lori ke kedai menjual telur di pasar raya berkenaan.
“Ketika itu, dianggarkan seramai lebih 50 orang pembeli sedang beratur untuk membeli telur sehingga menutup laluan terus menyebabkan pekerja tersebut perlu mengikut laluan lain.
“Ketika memusingkan palet berisi 100 papan telur itu, dia hilang keseimbangan lalu bekalan telur berkenaan terjatuh dan banyak yang pecah. Kami yang berada di sini ramai cepat-cepat membantu untuk mengutip kembali telur-telur yang masih elok.
“Apabila dikutip, hanya tinggal 48 papan telur yang tidak pecah, manakala 52 papan telur yang lain pecah. Jadi anggaran yang pecah dalam kejadian itu adalah sebanyak 1,500 biji,” katanya yang menjual putu bambu berhampiran tempat kejadian.
Tambah Mohamad Romli, pekerja itu dapat dilihat berasa amat sedih dengan kejadian yang berlaku kerana dia hanya terduduk diam dalam beberapa minit selepas perkara itu berlaku.
“Apabila dia dihulurkan air untuk minum bagi menenangkan diri, dia hanya menolaknya. Pastinya dia sedih dan rasa bersalah atas perkara itu kerana ia berlaku pada ketika bekalan telur kurang di pasaran,” ujarnya lanjut.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Rahmat Hidayat Zainal, 31, pula memberitahu, kedai berkenaan menerima bekalan pada sebelah pagi dan mengehadkan hanya dua papan bagi seorang pembeli.
“Akibat kejadian itu, mereka yang beratur di bahagian belakang tidak dapat membeli telur kerana bekalan telah berkurangan lebih daripada separuh.
“Selepas kesemua telur yang masih elok dibersihkan, ia dijual semula kepada mereka yang sudah beratur, mujur Alhamdulillah hampir kesemua dapat membeli telur, cuma ada beberapa orang yang tidak dapat kerana telah kehabisan stok.
“Malahan hari ini, kedai telur tersebut juga ditutup kerana tiada bekalan telur untuk dijual,” katanya yang menjual buah-buahan di pasar raya tersebut.
Semalam, tular beberapa keping gambar menunjukkan berlakunya ‘kemalangan’ sehingga menyebabkan telur ayam pecah di sebuah pasar raya di Tampoi, di sini. –UTUSAN