PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tampil menjelaskan, tindakan partinya memecat dan menggantung keahilan beberapa ahlinya dibuat secara kolektif dan musyawarah demi kepentingan parti semata-mata.
Ini selepas UMNO bertindak memecat Datuk Zaharin Mohd. Yasin sebagai ahli parti berkuat kuasa serta-merta, serta menggantung keahlian Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail selama enam tahun atau dua penggal.
Jelas Ahmad Zahid, tiada mana-mana individu berkepentingan di sebalik keputusan itu, malah menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kemuafakatan, kebersamaan serta perpaduan UMNO bergerak sehati sejiwa perlu diperkasakan.
“Sebarang anasir yang boleh memecah belah atau mengganggu-gugat ditangani sebaik mungkin dengan respons sewajarnya.
“Begitu juga terhadap anasir dalaman yang berusaha memburuk-burukkan institusi kepemimpinan parti yang menjadi benteng kepada perjuangan parti.
“Jika institusi ini dilemahkan dengan anasir dalaman yang merekayasa dakyah dan tohmahan, tentunya akan merosakkan keharmonian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga menyifatkan parti politik lain akan melakukan tindakan yang sama bagi memastikan institusi kepimpinan parti dihormati.
“Kini bukan masa untuk menoleh. UMNO telah mengambil tindakan dan keputusan bersama demi kepentingan parti ini.
“Apa yang telah berlaku suatu penegasan oleh parti bahawa UMNO tidak pernah tentang individu. UMNO adalah mengenai rakyat dan negara.
“UMNO sebuah perjuangan agama, bangsa dan tanah air. Kesilapan lalu tidak boleh berulang. Gunting dalam lipatan perlu dikekang. Gerak kerja PRU15 menjadi fokus utama sehingga tiba tarikh penting itu,” katanya. – UTUSAN










