NIBONG TEBAL: Seramai empat lelaki warga tempatan termasuk dua pengawal keselamatan sebuah kilang diberkas susulan kejadian pecah masuk sebuah kilang membuat skru di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS) di sini, pukul 9.30 pagi, 23 September lalu.
Difahamkan, kedua-dua pengawal keselamatan itu bertindak sebagai ‘pengintip’ manakala ketika kejadian, pengawal keselamatan di kilang membuat skru yang turut berfungsi sebagai gudang menyimpan barang itu tidak bertugas.
Ketua Polis Daerah SPS, Superintenden Lee Chong Chern berkata, keempat-empat lelaki yang berusia antara 34 hingga 48 tahun itu ditangkap minggu lalu selepas satu laporan polis mengenai kes itu dibuat enam hari selepas kejadian.
Beliau berkata, laporan polis dibuat lewat kerana kilang tersebut dikatakan tidak lagi beroperasi dan pemiliknya mahu membuat semakan terhadap barang yang dilaporkan hilang terlebih dahulu.
Katanya, jumlah kerugian keseluruhan pula dianggarkan mencecah RM194,000 dan hasil siasatan mendapati, banyak barangan yang dicuri itu dijual atau gagal dijumpai semula.
“Bagaimanapun, polis berjaya merampas semula 24 barang kes termasuk beberapa peralatan komputer, alat pencetak, katrij dan lain-lain.
“Turut dirampas ialah mesin gerudi, mesin kompresor, beg plastik mengandungi batang kecil, beberapa gulung wayar, pemotong wayar dan sebagainya yang dianggarkan bernilai RM20,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Chong Chern, semakan mendapati kesemua yang ditangkap mempunyai antara dua hingga 22 rekod lampau termasuk berkaitan jenayah dan dadah.
“Dua daripada mereka juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 14 tahun, didenda atau disebat,” ujar beliau. –UTUSAN