KUALA TERENGGANU: Pas melahirkan rasa kecewa terhadap situasi yang berlaku ketika ini sehingga Parlimen terpaksa dibubarkan dalam keadaan yang agak tergesa-gesa.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, penggal pentadbiran untuk Parlimen berjalan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) hanya dalam tempoh empat tahun lima bulan sahaja.
Beliau bagaimanapun berkata, Pas tetap optimis bahawa usaha penyatuan ummah tidak akan digagalkan oleh sesuatu agenda yang bukan untuk kepentingan awam dan negara.
“Sehubungan itu, Pas mengajak seluruh rakyat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam PRU15 yang sangat penting ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya sebentar tadi.
Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU15.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pula menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa justeru, tidak mempunyai pilihan, selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi memulangkan mandat rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.
Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Seri Paduka juga menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan PRU15 dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November ini. –UTUSAN