Parlimen bubar

Parlimen bubar

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia sekali lagi diberi mandat memilih kerajaan baharu bagi tempoh lima tahun akan datang selepas Parlimen dibubarkan berkuat kuasa semalam untuk membuka laluan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas berkata, pembubaran itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut mengesyorkan ketua-ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka serta Johor mengambil tindakan sewajarnya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing serentak tarikh peringkat Parlimen bagi menjimatkan kos.

“Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

“”Proses ini berlandaskan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan, sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi serta urusan lain yang berkaitan adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Diindang ditampi beras, dipilih antah satu-satu. Mandat dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

“Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuhkan ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik,’’ katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di seluruh negara.

Dalam ucapan beliau, Ismail Sabri turut berterima kasih kepada petugas barisan hadapan dan seluruh keluarga Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan ampuh dalam membantu kerajaan membendung penularan Covid-19.

Berikutan pembubaran Parlimen Ke-14, 21.1 juta pemilih termasuk 1.4 juta pengundi baharu layak menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian kelak.

PRU15 buat julung kalinya menyaksikan belia berusia 18 hingga 20 tahun yang berjumlah 1,141,749 orang atau 5.4 peratus bakal mengundi untuk kali pertama berikutan keputusan pendaftaran pengundi secara automatik di samping penurunan had mengundi 21 tahun kepada 18 tahun.

Sejajar keputusan pembubaran, SPR dijangka me­netapkan tarikh pengundian pada pertengahan November ini dalam tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihan raya.

Pengumuman pembubaran Parlimen oleh Ismail Sabri Yaakob dibuat selepas tiga hari pembentangan Bajet 2023 pada 7 November lalu seperti pernah dilakukan ketika era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila Parlimen dibubarkan pada 11 November 1999 iaitu selepas belanjawan diumumkan pada 29 Oktober tahun sama.

PRU15 dijangka menyaksikan saingan sengit yang bukan sahaja melibatkan calon bertan­ding, malah lima gabungan parti politik bakal berentap mempertaruhkan nasib melibatkan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi merebut 222 kerusi Parlimen dan 337 DUN.

Selain itu, terdapat empat parti politik seperti Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Bangsa Malaysia, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat tidak menolak bertanding di sam­ping penyertaan calon-calon bebas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN