P-hailing diminta laksana penambahbaikan - Utusan Malaysia

P-hailing diminta laksana penambahbaikan

ROSOL WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil langkah proaktif dengan meminta industri perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) melaksanakan beberapa penambahbaikan termasuk caj komisen yang dikenakan kepada peniaga.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna, peniaga dan penghantar makanan oleh pihak penyedia perkhidmatan dijalankan dengan lebih telus tanpa sebarang kos tersembunyi dikenakan kepada semua pihak terlibat.

Menurutnya, antara aspek penambahbaikan p-hailing mengenai sistem caj komisen, dokumen perjanjian, ketelusan peraturan dan operasi serta penambahbaikan sistem penyelesaian aduan.

Beliau berkata, kementerian sudah meminta syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan melaksanakan penambahbaikan dalam isu-isu terbabit termasuk mengenakan sistem caj komisen berperingkat dan fleksibel pada kadar lebih rendah kepada peniaga.

“Selain itu, industri juga diminta menambah baik pengurusan dokumen perjanjian supaya peniaga mendapat maklumat yang lebih jelas sebelum menandatangani kontrak bersama pihak penyedia perkhidmatan.

“Syarikat p-hailing juga diminta memastikan ketelusan peraturan dan operasi dalam melengkapkan rakan niaga dengan perkhidmatan latihan dan peraturan yang jelas, serta menambahbaik sistem penyelesaian aduan pengguna, peniaga dan rakan penghantar.

“KPDNHEP sentiasa prihatin terhadap isu-isu yang dibangkitkan dan berterusan memantau syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing dalam melindungi kepentingan pengguna dan peniaga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil beberapa libat urus kementeriannya dengan pemain industri p-hailing, kadar caj komisen yang sebelum ini setinggi 35 peratus, mula dikurangkan secara berperingkat oleh beberapa syarikat khidmat penghantaran makanan ini.

“Setakat ini, ada syarikat industri p-hailing sudah turunkan kadar komisen yang dikenakan terutama kepada peniaga kecil iaitu sekitar 15 peratus dan kita akan terus memantau perkara ini.

“Secara dasarnya, jika peniaga sudah menikmati pengurangan caj komisen yang dikenakan syarikat p-hailing, maka ia secara tidak langsung membolehkan peniaga menyelaraskan harga makanan yang dijual di aplikasi pesanan makanan p-hailing ini pada kadar lebih munasabah,” katanya. 

Justeru, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu menyeru orang ramai untuk mengemukakan aduan kepada KPDNHEP sekiranya harga makanan yang dijual menerusi aplikasi pesanan makanan p-hailing ini melampau dan tidak munasabah sehingga membebankan pengguna.

“Jika ada aduan, penguat kuasa KPDNHEP akan jalankan siasatan. Kita akan lihat justifikasi dan kos-kos yang ditanggung peniaga untuk meletakkan harga makanan pada kadar tertentu. 

“Sekiranya terbukti peniaga cuba ambil keuntungan melampau, maka tindakan tegas akan dikenakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. 

“Dalam masa sama, pengguna juga perlu bijak menggunakan hak dan membuat pilihan. Elakkan membeli daripada peniaga yang didapati letak harga melampau dan tidak munasabah,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya