JOHOR BAHRU: Uda Holdings Berhad (Uda) menggalakkan usahawan, peniaga dan pengguna untuk mempergiat aktiviti ekonomi tempatan dalam usaha mengurangkan kesan inflasi yang dijangka berlaku tahun depan.
Pengerusinya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, aktiviti ekonomi yang aktif dalam negara akan membantu ‘pengapungan’ matawang, sekali gus mengelakkannya mengalir ke luar negara.
“Ekonomi negara dijangka akan berdepan inflasi yang lebih mencabar tahun depan. Jika peniaga dan usahawan di Malaysia dapat terus berbelanja dalam negara secara lebih aktif dan tidak berbelanja ke luar negara, maka kita dapat membantu mengurangkan kesan inflasi.
“Adalah penting untuk kita terus ‘mengapungkan’ ringgit dalam negara kerana ia akan bantu mengukuhkan ekonomi tempatan,” katanya semasa merasmikan Karnival Uda USHAniaga Keluarga Malaysia di pusat beli-belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.
Pihaknya juga akan membantu peniaga dan usahawan di bawah agensi berkenaan untuk memasarkan produk mereka ke pasaran antarabangsa.
“Kesan langkah ini akan membantu meningkatkan kemasukan keuntungan dalam negara, sekali gus turut mengukuhkan kedudukan ekonomi dalam negara.
“Manfaat turut diterima usahawan terlibat apabila mereka akan memperoleh keuntungan yang lebih baik setelah menembusi pasaran baharu,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan karnival tersebut diadakan di beberapa lokasi di seluruh negara, antaranya di Odean Walk, Kuala Lumpur, Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
“Menerusi dua penganjuran program sebelum ini, sebanyak 300 gerai usahawan telah dibuka dengan penjanaan jualan sebanyak RM6.5 juta.
“Penganjuran karnival ini diharap dapat terus membudayakan aktiviti keusahawanan kepada generasi akan datang dan membuka peluang perniagaan baharu, sekali gus merapatkan jurang ekonomi rakyat Malaysia,” tambahnya. –UTUSAN