Nadir bumi: Sanusi harus bertanggungjawab - Amanah -

Nadir bumi: Sanusi harus bertanggungjawab – Amanah

DR. Ismail Salleh (kanan) dan Mohd. Asmirul Anuar Aris memegang salinan laporan polis dan akhbar Utusan Malaysia selepas membuat laporan di IPD Kota Setar, Alor Setar di sini. -UTUSAN/MOHD RIFAAT ABD HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah meminta Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor agar bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden kecurian unsur nadir bumi atau rare earth element (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, sebagai ketua kerajaan negeri, Muhammad Sanusi perlu memikul tanggungjawab itu kerana sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan urus tadbir kerajaan negeri termasuk agensi di bawahnya.

“Kami sangat terkejut dan luar biasa apabila laporan ini dikeluarkan hari ini. Dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu saya ada bertanya apakah status REE ini dan Menteri Besar jawab telah beri satu kelulusan kepada konsesi untuk meneroka di Bukit Enggang tanpa kelulusan melombong dan sebagainya.

“Tetapi, apabila sindiket ini berlaku, saya buat laporan polis untuk disiasat beberapa perkara kerana ada yang tidak kena dalam urus tadbir agensi dan jabatan-jabatan terlibat. Bagaimana boleh melombong kerana ini bukan cerita jumpa duit syiling kecil tetapi hutan yang perlu ditebang, digali dan sebagainya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis mengenai perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, negara mungkin kerugian mencecah berbilion ringgit apabila hasil REE di Hutan Simpan Bukit Enggang dicuri pihak tertentu sejak dua tahun lalu.

Tambah Dr. Ismail, tanpa sebarang salah laku pihak terlibat, kegiatan itu sukar untuk dilakukan dan beliau turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar turut sama melakukan penyiasatan.

“Selain itu, kegiatan ini juga melibatkan jenayah curi, rompak yang berbilion serta jenayah alam sekitar. Cuba kita bayangkan kalau dalam guni yang dikatakan REE itu ada unsur yang memiliki radioaktif bahaya yang sudah mengalir ke sungai berdekatan.

“Ini bukan setakat isu di peringkat Bukit Enggang, Sik atau Kedah tetapi isu dunia. Kita nak Menteri Besar tanggungjawab agar seluruh rakyat Kedah dan negara amnya tidak tertipu dengan isu besar ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Amanah Kedah, Mohd. Asmirul Anuar Aris berkata, pihaknya tidak ada masalah dengan sebarang projek kerajaan negeri yang dapat membantu meningkatkan pendapatan Kedah tetapi ia seharusnya dilakukan dengan langkah yang betul.

“Isu pencemaran alam sekitar yang amat kita takuti kerana adakah mereka mendapat kelulusan Impak Alam Sekeliling (EIA) yang sudah tentu tidak ada apabila aktiviti ini disahkan Menteri Besar berlaku secara haram.

“Bagaimana kegiatan ini boleh berlaku yang mana kita semua tahu beliau bersungguh-sungguh tentang REE yang nak dilaksanakan di Kedah, tiba-tiba beliau beritahu ia berlaku secara haram. Maka dalam hal ini jelas beliau gagal dan jangan pula tuding jari kepada orang lain,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN