KOTA MARUDU: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal senada dengan Parti Bersatu Rakyat Sabah (SUPP) yang menyatakan Sabah dan Sarawak akan menjadi penentu atau ‘king maker’ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Penyandang kerusi Parlimen Semporna itu yakin apabila kedua-dua negeri mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi iaitu 31 kerusi Parlimen di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah, maka, kedua-dua negeri akan menjadi penentu bagi pembentukan kerajaan baharu selepas PRU15.
Beliau berkata, apabila kedua-dua negeri bijak bertindak, maka, Sabah dan Sarawak tidak lagi boleh dikawal oleh parti dari Kuala Lumpur.
“Jadi, sudah tiba masanya untuk kita mengubah landskap politik negara pada pilihan raya kali ini.
“Ini bukan tentang kepentingan Sabah sahaja tapi untuk negara. Kita mahu sistem pentadbiran yang cukup stabil,” katanya semasa Program Jelajah Warisan di Dewan Serbaguna Matunggong hari ini.
Menurut beliau, pilihan raya adalah proses demokrasi yang membolehkan suara rakyat didengar dan mandat rakyat dihormati.
Mengulas tentang calon Parlimen Kota Marudu, Mohd. Shafie berkata, senarai calon sedang diteliti secara mendalam dan akan diumumkan apabila tiba pada masanya.
“Ada sebahagian senarai sudah ada dengan saya dan saya akan nilai dan teliti secara mendalam bagi menyemak status muflis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keselamatan. Saya akan tapis sebaik mungkin.
“Namun, seorang calon itu, kriteria pertama yang dinilai adalah kebolehan untuk menang. Kedua, orang itu harus beriman kerana kita tidak mahu menang hari ini kemudian selepas pilihan raya, kita kalah,” katanya.
Mohd. Shafie berkata, kemungkinan besar Warisan akan bertanding semua kerusi dan keputusan itu disambut baik di peringkat akar umbi.
Katanya, semasa siri jelajah diadakan, bukan hanya di Kota Marudu, tetapi juga kawasan lain, sambutan daripada orang ramai terhadap Warisan amat baik dan cukup jelas mahukan parti tempatan.
Tambah beliau, trend sekarang cukup jelas rakyat mahukan parti tempatan yang membolehkan suara dan masa depan mereka terjamin.
Semalam, Presiden SUPP, Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian berkata, Sabah dan Sarawak akan menjadi penentu siapa yang akan membentuk kerajaan baharu di peringkat pusat pada PRU15 susulan keadaan politik di Semenanjung yang huru-hara pada masa ini.
Kui Hian berkata, Sarawak mempunyai 31 ahli Parlimen, jadi sesiapa yang ingin membentuk kerajaan memerlukan Sarawak dan Sabah. –UTUSAN