KUALA LUMPUR: Beberapa pegawai menteri Kabinet mula mengosongkan pejabat masing-masing manakala sesi Dewan Rakyat yang semakin lengang semalam menguatkan lagi spekulasi Parlimen kian hampir dibubarkan.
Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Walaupun sesi menghadap itu dikatakan rutin biasa bagi Perdana Menteri sebelum mesyuarat mingguan Kabinet, namun ramai pemerhati melihat Perdana Menteri boleh menggunakan kesempatan itu untuk memohon perkenan Seri Paduka bagi pembubaran Parlimen.
Sementara itu, beberapa menteri daripada semua parti ketika dihubungi menjangkakan Parlimen akan dibubarkan esok selepas sesi menghadap Seri Paduka pada pukul 4 petang ini.
Susulan itu, ramai pegawai menteri kini sibuk mengemas pejabat masing-masing kerana jika Parlimen dibubarkan secara automatik, jawatan mereka juga tamat.
Seorang pegawai menteri yang enggan dinamakan berkata, arahan mengosongkan pejabat dikeluarkan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK).
KOSONGKAN
“SUSK meminta kami semua kemas barang dan kosongkan bilik. Kesemua terlibat sudah mula mengosongkan bilik pagi semalam,” kata seorang pegawai menteri itu ketika dihubungi semalam.
Perkembangan sama turut diterima di semua pejabat menteri .
Seorang menteri berkata, beliau dan rakan-rakan menerima makluman mengenai pembubaran Parlimen minggu ini tetapi menunggu maklumat rasmi daripada Perdana Menteri.
“Ya, betul, saya jangkakan esok,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi menteri nmemberitahu, beliau dan partinya yakin Parlimen akan dibubarkan dalam beberapa hari ini dan sebagaimana biasa semua menteri perlu bersedia dengan pemilihan kerajaan baharu.
Bagaimanapun, kata menteri itu, keputusan mutlak turut bergantung kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong sama ada ingin menerima atau menolak permohonan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen ketika ini.
“Kalau Agong tidak perkenan, keadaan akan jadi sebaliknya dan kerajaan masih kekal. Cuma kita dapat hint yang sangat kuat ia akan dibubarkan Jumaat ini (esok),” katanya.
Ditanya bila Perdana Menteri akan menghadap Agong, menteri berkenaan berkata: “Esok (hari ini).”
Sementara itu, sumber Istana Negara mengesahkan Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada pukul 4 petang ini.
Bagaimanapun, sumber istana itu berkata, perkara itu biasa iaitu untuk mempersembahkan perjalanan mesyuarat Kabinet.
PEMBUBARAN
“Namun, dalam masa sama ada kemungkinan PM juga boleh mempersembahkan permohonan untuk pembubaran Parlimen,” katanya ketika dihubungi.
Difahamkan Agong akan berangkat ke London malam Ahad ini untuk menghadiri program lawatan ke Stesen Janakuasa Battersea iaitu projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia.
Stesen Janakuasa Battersea adalah projek hartanah berkeluasan 16.99 hektar membabitkan usaha sama antara Sime Darby Property, SP Setia Berhad, KWSP dan PNB sejak 2012.
Sementara itu, satu maklumat memaklumkan persiapan untuk pembentangan Bajet 2023 berjalan seperti biasa dengan seorang pegawai Kementerian Kewangan memberitahu, Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan (MOF) pada Jumaat lalu memanggil semua Setiausaha Akhbar (SUA) dan Ketua Unit Komunikasi Korporat (KUKK) setiap kementerian untuk menghadiri taklimat.
“Kita sudah dipanggil mendengar taklimat pada Jumaat lepas jam 10 pagi di bangunan Kementerian Kewangan, tentang one government aproach supaya semua bercakap dengan cara sama, mengenai hala tuju dan ada tujuh kementerian yang akan membuat sidang media selepas Bajet 2023,” katanya.
Setakat pukul 5 petang semalam, persiapan di Parlimen juga seperti biasa dengan pihak pengurusan teknikal membuat raptai sebelum bajet dibentangkan Jumaat ini.
GERAK KERJA
Penyusunan tayangan infografik dikemas kini seperti tahun-tahun sebelum ini, namun salah seorang kakitangan yang menguruskan kerja-kerja tersebut berkata, jika berlaku pembubaran, segala gerak kerja akan terhenti serta-merta.
Malah, seorang lagi pegawai Menteri Kewangan turut mengesahkan program serta jadual menteri kekal seperti biasa dan tiada perubahan.
“Kita dah dapat arahan, tetapi jadual menteri kekal, tidak berubah, mesyuarat Kabinet pun masih kekal Jumaat pagi, bajet dibentang sebelah petang,” katanya.
Bagaimanapun, jika pembubaran Parlimen berlaku, Ismail Sabri Yaakob masih memimpin kerajaan sementara dengan kuasa-kuasa sementara.- UTUSAN










