IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad akan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk memohon perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sebaik sahaja mendapat perkenan daripada baginda.
“Saya akan menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku apabila mendapat perkenan,” katanya menerusi pesanan ringkas aplikasi WhatsApp kepada Utusan Malaysia.
Menteri Besar akan menghadap Sultan Perak untuk memohon perkenan baginda bagi membubarkan DUN negeri selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri membuat pengumuman khas itu yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara pada pukul 3 petang tadi menerusi saluran televisyen dan medial sosial.
Perdana Menteri mengesyorkan ketua-ketua kerajaan negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan pilihan raya umum peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.
Kata beliau, ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.
Komposisi terkini 59 kawasan DUN Perak terdiri daripada BN (25), DAP (16), Amanah (5), Bersatu (4) dan masing-masing tiga daripada PKR, Pas dan Bebas. –UTUSAN