Masih terlantar, detik bahagia perkahwinan Jahidah dikongsikan -

Masih terlantar, detik bahagia perkahwinan Jahidah dikongsikan

TANGKAP layar video yang dimuat naik oleh Fauziah (kanan) yang berkongsikan detik majlis perkahwinan kakaknya, Jahidah (kiri) yang kini terlantar di atas katil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perkahwinan mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin, 43, sudah lebih setahun berlalu dan kini dia masih terlantar di atas katil selepas mengalami detik hitam dalam hidup sehingga pernah koma dipukul suami ketika sedang mengandung pada Mei tahun lalu.

Adiknya, Fauziah Nordin, 40, baru-baru ini turut berkongsi satu video di media sosial Tiktok miliknya @ziahzara_15 yang memaparkan detik bahagia hari pernikahan Jahidah yang diraikan oleh  ahli keluarga.

Video tersebut mendapat tontonan sebanyak 1.1 juta dan Fauziah turut meluahkan rasa hati tentang kejadian yang menimpa kakaknya yang masih belum pulih sehingga hari ini.

“Sudah setahun lebih berlalu perkahwinan dengan restu dari semua keluarga tapi dimusnahkan dengan beribu penipuan dan memusnahkan hidup kakakku seumur hidup oleh lelaki ini,” kongsinya.

Menurut Fauziah, tiada banyak perubahan pada Jahidah yang kini masih lagi terlantar di atas katil dan tidak mampu memberikan respon. 

“Memang keadaan fizikal sudah banyak berubah tidak seperti dulu. Kecederaan yang dialaminya akibat dipukul menyebabkan muka jadi seperti sekarang. 

“Rahangnya patah, tempurung kelapanya juga terpaksa dibuang. Kejadian ini bukan sahaja menarik keceriaan kakak, malah kami sekeluarga, namun, kami reda dengan ujian Allah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Fauziah berkata, tahap kesihatan kakaknya semakin baik, namun, tiada banyak perubahan selain tidak boleh memberi tindak balas. 

“Disebabkan sudah lama terlantar, badan dan pergerakannya agak kaku. Bulan November nanti, kakak akan dimasukkan ke wad rehabilitasi kerana doktor mahu pantau keadaannya,” katanya. 

Ditanya mengenai keadaan Eshan Nufail yang kini sudah berusia 10 bulan, Fauziah berkata, bayi berkenaan masih tidak boleh duduk kerana tulangnya masih lembut dan perlu mendapatkan fisioterapi bermula pertengahan bulan ini. 

“Saya selalu letakkan Nufail di sebelah kakak, adakalanya kakak mengeluarkan air mata. Mungkin dia sedih, namun tidak dapat meluahkannya,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan dalam kejadian pada 4 Mei 2021, Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun. 

Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar,  Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital. 

Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.