Malaysia syor sains tingkah laku jadi agenda dunia - Utusan Malaysia

Malaysia syor sains tingkah laku jadi agenda dunia

KJ
KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia menyarankan agar sains tingkah laku yang telah membuktikan keupayaan pengawalan isu wabak Covid-19 dijadikan agenda kesihatan dunia.

Syor tersebut disuarakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika berucap pada nota celahan Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat sesi ke-73 di Manila, Filipina hari ini.

“Tidak dinafikan bahawa sains tingkah laku telah menjadi sebahagian daripada kisah kejayaan rantau ini dalam mengawal penularan virus Covid-19 dan meminimumkan beban penyakit.

“Justeru, Malaysia dengan sukacita mengumumkan akan mencadangkan resolusi mengenai Sains Tingkah Laku untuk Kesihatan Lebih Baik agar dapat disokong semua negara,” katanya.

Persidangan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Tedros Ghebreyesus itu disertai 37 negara anggota badan tersebut dari rantau Pasifik Barat.

Pada 24 Mei lalu, Khary, 46, melakar sejarah di Geneva, Switzerland apabila dipilih sebagai antara lima Naib Presiden Perhimpunan Kesihatan Sedunia mewakili Rantau Pasifik Barat.

Seminggu kemudian, beliau dilantik sebagai Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif WHO pada sesi mesyuarat ke-151 mewakili Malaysia untuk tempoh dari 2021  sehingga 2024 depan.

Persidangan rantau Pasifik Barat itu diadakan secara hibrid sejak semalam membincangkan lima tema  dipengerusikan Menteri Kesihatan Laos, Dr. Bounfeng Phounmmalaysith.

Mengulas lanjut, Khairy berharap usul Malaysia  itu dapat diperhalusi teliti pada sesi ke-152 Lembaga Eksekutif WHO kelak.

“Resolusi ini akan dibawa pada Januari nanti disusuli Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-76 pada Mei berikutnya. Kami seru semua 194 negara anggota menyokong resolusi ini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN