MELAKA: Tindakan samseng seorang lelaki warga Bangladesh yang melarikan diri daripada pemeriksaan polis serta bertindak agresif cuba memukul anggota dengan topi keledar membawa padah apabila buruh binaan itu didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Abser Nurul, 34, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menghalang tugas polis dengan cara melarikan diri daripada pemeriksaan dan cuba memukul polis menggunakan topi keledar.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10.30 malam di hadapan sebuah pasar raya berdekatan Terminal Bas Melaka Sentral pada 10 Mei 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Difahamkan, tertuduh yang ketika kejadian menunggang motosikal bertindak meninggalkan kenderaan tersebut dan melarikan diri bagi mengelak ditahan kerana tidak mempunyai lesen memandu.
Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh merayu hukuman berbentuk denda yang rendah diberikan dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.
Bagaimanapun, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari merayu hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.
Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal bayar. – UTUSAN










