KUIS dinaik taraf jadi Universiti Islam Antarabangsa Selangor -

KUIS dinaik taraf jadi Universiti Islam Antarabangsa Selangor

KUIS kini menjadi UIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dinaik taraf sebagai Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) bermula hari ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, dengan naik taraf tersebut membuktikan UIS adalah sebuah institusi yang setanding dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lain di negara ini.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak KUIS yang dinaik taraf sebagai UIS bermula hari ini.

“MAIS berharap UIS akan sentiasa mengekalkan momentum kecemerlangan sebagai sebuah IPT dan memaksimumkan penghasilan pelajar yang cemerlang malahan berkualiti dalam bidang profesional dan hebat di sisi agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar bagi mempersembahkan watikah rasmi naik taraf KUIS sebagai UIS di Istana Bukit Kayangan di sini semalam.

Abdul Aziz berkata, UIS perlu sentiasa mengorak langkah komprehensif serta mengambil peluang agar dapat membuktikan pengalaman 27 tahun mengelola IPT terbabit akan merealisasikan kejayaan demi kejayaan apabila menjadi sebuah universiti.

“MAIS juga menyeru kepada ibu bapa dan pelajar di luar sana, agar memilih UIS sebagai salah satu institusi keutamaan untuk melanjutkan pengajian yang berteraskan syariah Islamiah di negeri Selangor ini,”katanya.

Untuk rekod, UIS merupakan sebuah IPT Islam milik penuh MAIS yang ditubuhkan di bawah akta IPT Swasta 1996.

Penubuhannya secara rasmi pada 15 Februari 1995 membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan agenda pendidikan dan kecemerlangan ilmu.

UIS terus menjadi legasi pendidikan Sultan Selangor yang sentiasa dipelihara dan disantuni menjadi peneraju tradisi ilmu dan penyatuan umat Islam di negeri ini.

Pelbagai program pengajian ditawarkan di peringkat Asasi, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) yang telah memenuhi perakuan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) merentasi pelbagai disiplin ilmu termasuk pengajian Islam, pengajian perniagaan, perbankan Islam, pendidikan, komunikasi, dan teknologi maklumat yang berdaya saing dan kompetitif. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.