JITRA: Perikatan Nasional (PN) sentiasa bersifat terbuka untuk bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, PN sentiasa menyeru ke arah perpaduan dan sedar pertembungan pada pilihan raya kali ini sengit.
Bagaimanapun, menurut beliau sehingga kini, kerjasama yang dicadangkan oleh GTA itu hanya melalui laporan media dan tidak diterjemahkan dalam sebarang pertemuan secara rasmi.
“Sehingga kini PN dan GTA masih tiada lagi mengadakan perjumpaan bagi merealisasikan kerjasama seperti yang dicadangkan mereka. Kami tidak pernah menutup pintu dan jika GTA berminat, PN akan membawa dan berbincang di peringkat Majlis Tertinggi nanti.
“Kami secara umumnya bersifat mesra untuk bekerjasama dan konsisten ingin mewujudkan kestabilan politik dan diharap begitu juga dengan GTA bagi kerjasama itu,” katanya ketika ditemui pada Program MyKasih Foundation di sebuah pasar raya, hari ini.
Menurut Wan Saiful, kerjasama gabungan PN dan GTA adalah serasi kerana masing-masing memperjuangkan integriti dan menghapuskan kleptokrasi.
“Rakyat hari ini sudah menolak pemimpin yang mengamalkan kleptokrasi dan mengangkat kepemimpinan yang amanah. Jadi musuh PN adalah Barisan Nasional (BN) dan begitu juga GTA yang mahukan BN turut tewas pada PRU ini.
“Apabila kami senada mungkin akan memudahkan kerjasama antara PN dan GTA untuk bekerjasama pada PRU nanti. Bagaimanapun kedua-dua pihak perlu berbincang bagi mengadakan kerjasama itu dan tidak hanya dimaklumkan di media sahaja,” katanya.
Sementara itu, bagi persiapan PRU15 nanti, Wan Saiful berkata, Bersatu Kedah sudah menamakan calon-calon parlimen di negeri itu dan telah dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi untuk penilaian selanjutnya.
Semalam, Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pihaknya sedang menilai kemungkinan kerjasama dengan PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menghadapi PRU15.- UTUSAN