ALOR SETAR: Kepakaran dimiliki pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bakal menjadi sandaran Gerakan Tanah Air (GTA) dalam memenangi hati rakyat untuk membawa suara golongan akar umbi yang mungkin tidak dipedulikan kerajaan sebelum ini.
Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, penglibatan NGO dalam GTA bersifat lebih menyeluruh dengan mereka turut diberi peluang untuk bersama-sama dalam sistem pentadbiran negara dengan menyertai pilihan raya.
Katanya, sebelum ini, pihaknya banyak mendengar rungutan daripada NGO menyatakan suara mereka tidak diberi perhatian oleh kerajaan, malah, kalangan menteri dan timbalan menteri ditemui juga seolah-olah tidak memahami isu diperjuangkan yang dekat dengan hati rakyat.
“Ada kalanya NGO-NGO ini terpaksa pula ‘mengajar’ menteri atau timbalan menteri mengenai latar belakang sesuatu isu kerana orang politik ini tidak menjiwai keadaan rakyat. Lebih teruk lagi, selepas pertemuan itu menteri tersebut pula ada kalanya melantik lembaga penasihat terdiri daripada orang berkepentingan yang memburukkan lagi keadaan.
“Pada akhirnya, isu tersebut tidak selesai walaupun NGO-NGO ini ada kepakaran dan menyuarakannya kepada kerajaan termasuk menerusi himpunan aman dan sebagainya. Jadi, saya cadangkan agar mereka ini tidak berada di luar kerajaan sebaliknya duduk dalam kerajaan kerana mereka ada kepakaran dalam pelbagai bidang untuk selesaikan masalah.
“Tetapi, untuk mereka masuk kerajaan, kenalah bertanding dalam pilihan raya. Sebab itu GTA membawa NGO-NGO ini dalam perjuangan kami dan mereka akan turut berada di barisan depan dalam pilihan raya serta membawa perubahan kepada negara satu hari nanti,” katanya dalam sidang akhbar, di sini.
Menyifatkan GTA sebagai satu gabungan hibrid dengan separuh daripadanya diisi parti politik dan separuh lagi diwakili NGO, Mukhriz berkata, ketika ini sudah terdapat ratusan NGO yang datang kepada kepada gabungan itu dengan yang terbaru adalah Gagasan Bangsa yang menghimpunkan badan-badan bukan terdiri daripada parti politik.
“Biasanya perlembagaan NGO itu sendiri tak benarkan mereka terlibat dalam politik jadi mereka ini bernaung di bawah Gagasan Bangsa. Selepas itu, Gagasan Bangsa tersebut secara rasmi menyertai GTA.
“Ramai tokoh yang bukan calang-calang ada dalam kalangan NGO tersebut. Ada antara mereka merupakan ahli akademik, veteran tentera, ahli korporat serta aktivis yang banyak memperjuangkan isu rakyat,” katanya.
Ditanya mengenai khabar menyatakan terdapat beberapa personaliti terkenal akan mewakili GTA dalam PRU kali ini seperti bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Penerbit dan pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Mukhriz berkata, perkara itu setakat ini masih belum dimuktamadkan.
Namun, katanya, GTA memiliki matlamat untuk menawarkan tempat tidak hanya kepada orang politik untuk menjadi wakil rakyat.
“Rakyat mendambakan satu keadaan di mana orang yang tak pernah terpalit politik dapat mewakili mereka. Apabila nampak nama besar seperti ini, mungkin mereka akan diterima baik rakyat.
“Mereka ini jika diberi peluang, kepakaran itu mungkin boleh digunakan tidak hanya membantu rakyat di kawasan mereka malah seluruh tanah air. Mereka akan bersuara untuk rakyat mengenai isu yang dekat di hati mereka dan sebab itulah juga kita bawa pelbagai NGO termasuk berkaitan alam sekitar serta kepenggunaan bersama GTA,” katanya. –UTUSAN