Keluarga syukur dapat tatap Azie depan mata - Utusan Malaysia

Keluarga syukur dapat tatap Azie depan mata

ROSNAZIRAH Mohd. Naim (kanan) bersama keluarga di rumah mentuanya di Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Keluarga kepada ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd. Naim atau Azie, 36, bersyukur dapat menatap wajah dan memeluk wanita berkenaan setelah diselamatkan oleh polis selepas dilarikan ke Thailand pada 13 September lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, kakak mangsa yang enggan dikenali menyifatkan kepulangan semula Azie sememangnya dinanti oleh seluruh ahli keluarga.

“Ma, ayah dan kami sekeluarga menitiskan air mata ‘kegembiraan’ selepas dapat melihat Azie pulang dalam keadaan selamat.

“Terima kasih rakyat Malaysia yang mendoakan keselamatan Azi,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Kakak Azie memberitahu, buat sementara waktu, adiknya itu akan tinggal bersama suaminya di Kota Bharu.

Azie tiba di rumah mentuanya  pada  pukul 2.50 petang dengan diiringi Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Sebaik turun dari kereta, mangsa  menangis sambil memeluk kedua-dua ibu bapanya, Mohd. Naim Awang,70, dan ibunya, Zahasnah Mohd. Zain, 61, yang menunggu di depan rumah.

Utusan Online sebelum ini melaporkan, ejen jualan barangan kosmetik yang didakwa diculik dalam kejadian di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, dekat sini pada 13 September lalu berjaya diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah lokasi di Thailand.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, susulan itu, mangsa dibawa pulang ke negara ini hari ini hasil bantuan pihak berkuasa negara tersebut.

Kata beliau, tujuh individu warga tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Pada 13 September lalu, mangsa didakwa ‘dilarikan’ tiga lelaki selepas dikaitkan mempunyai kaitan dengan sindiket dadah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN