Kartel kembali bermaharajalela - Utusan Malaysia

Kartel kembali bermaharajalela

KELIHATAN bekas telur yang kosong di sebuah kedai di Kangar, Perlis ekoran kekurangan bekalan bahan makanan itu sejak beberapa bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketika Deepa­vali bakal menjelang dan rakyat Malaysia sibuk dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kartel ayam dan telur pula sibuk mencatu bekalan kedua-dua bahan keperluan itu sehingga menyukarkan orang ramai dan peniaga.

Masalah kekurangan bekalan makanan asas itu sama ada ayam segar atau telur berlaku di seluruh negara dan situasi semakin meruncing apabila banyak kedai mamak tidak lagi menjual roti canai telur kerana terputus bekalan.

Bekalan yang ada di pasaran kini hanya membabitkan ayam organik atau ayam kampung yang harganya melebihi RM10 sekilogram.

Manakala bagi telur pula membabitkan telur Omega 3 yang harganya mencapai RM7 bagi 10 biji.
Kekurangan bekalan kedua-dua bahan makanan yang berlaku di hampir semua negeri itu didakwa berpunca daripada monopoli syarikat gergasi yang mencari peluang untuk meraih keuntungan berlipat kali ganda di musim perayaan dan ketika Malaysia dalam proses memilih kerajaan baharu pada PRU15.

Seorang penternak kecil ayam di Selangor mendakwa, situasi sama seperti Mei tahun lalu kembali semula apabila beberapa kartel sedang berkomplot mengurangkan bekalan ayam kepada penternak kecil daripada 260 bakul kepada hanya 200 bakul ayam sehari.

Dakwa penternak yang enggan dikenali itu, tindakan itu berlaku di hampir semua ne­geri sekali gus menyebabkan sumber makanan itu semakin hari semakin berkurangan di dalam pasaran ketika ini.

JUMLAH

Sebelum ini, ceritanya, penjual menerima satu bakul yang mengandungi lapan hingga sembilan ekor ayam dengan harga RM6 sekilogram namun kini bukan sahaja jumlah bakul berkurangan tetapi jumlah ayam juga dikurangkan iaitu tujuh ekor bagi setiap bakul dengan harga RM7.

Menurutnya, penternak kecil mengalami masalah ini pada awal bulan ini tetapi seolah-olah pihak berkuasa tidak sedar dan jika berterusan macam ini bekalan ayam akan terus meruncing.

“Saya pelik kenapa seolah-olah tidak berlaku apa-apa? Semua ‘senyap’, adakah disebabkan pilihan raya? Sehingga terpaksa tutup isu-isu begini. Keadaan di bahagian bawah ini sangat teruk dan mungkin hujung tahun akan lagi teruk sekiranya terus tiada siapa peduli,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, beberapa syarikat gergasi ternakan ayam didakwa berkomplot ‘menyem­be­lih’ penternak kontrak ke­cil-kecilan dengan mengaut hampir semua peruntukan subsidi yang disalurkan kerajaan kepada industri tersebut.

Mengulas dakwaan tersebut, penternak kecil ayam itu berkata, perkara itu benar dan tawaran subsidi kerajaan itu sebagai ‘bonus besar’ kepada syarikat-syarikat besar.

“Saya setuju dengan hal ini, sebanyak 80 peratus penternak kecil di Malaysia membuat kontrak dengan integrator (syarikat besar). Apabila sudah buat kontrak terpaksa ikut syarat mereka, ada dapat 30 sen, ada cuma 10 sen dan ada yang tidak dapat langsung. Pelbagai alasan kartel beri kerana tak mahu kongsi subsidi kerajaan.

“Sekarang ini pasaran ayam mereka yang kawal dari semua hal, sampai isu harga naik sekarang. Jangan cakap penternak kecil sahaja dimanipulasi oleh integrator, kerajaan pun tidak boleh kawal mereka, komplot tersebut sudah terlalu selesa,” katanya.

KARTEL

Satu sumber lain pula mendedahkan kepada Utusan Malaysia satu nota suara didakwa daripada kartel yang memberikan alasan kenapa bekalan ayam dikurangkan kepada penternak kecil.

“Sekarang ini kualiti ayam berkurang, banyak ladang ‘tendang’ ayam keluar. Kemudian, banyak ladang sekarang enggan menternak ayam kerana kos terlalu tinggi,” katanya.

Dalam isu bekalan telur pula sumber berkata, punca kekurangan itu juga seperti kartel ayam kerana mereka mengurangkan pengeluaran telur untuk menaikkan harga telur di pasaran.

Katanya, bagi memastikan hasrat tercapai, syarikat-syarikat mengeluar induk ayam akan bunuh ‘baka’ sehingga mengakibatkan bukan sahaja ayam kurang tetapi juga telur.

“Jika sebelum ini bekalan ayam atau telur kurang kerana akibat tidak disengajakan se­perti ayam sakit dan sebagainya tetapi sekarang ini punca kekurangan itu disengajakan dengan baka ayam itu dibunuh supaya telur ayam tidak dikeluarkan lebih, anak ayam juga tidak banyak.

“Tetapi apabila kerajaan menyoal mereka, alasannya adalah sebab baka tidak masuk jadi mereka tak boleh nak keluarkan anak ayam lebih bagi menampung permintaan pasaran sekarang, sedangkan mereka sendiri puncanya,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN