JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah jawatan kuasa khas bertujuan mengeratkan lagi hubungan Johor dan Indonesia di samping meningkatkan jumlah pengunjung antara kedua-duanya.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jawatan kuasa khas berkenaan akan diterajui tiga exco yang memegang portfolio berkaitan.
Menurutnya, kerjasama strategik dengan Indonesia khususnya kepulauan Riau akan memberi manfaat besar terhadap ekonomi Johor pada masa akan datang.
“Bagi mengeratkan hubungan Johor dengan Indonesia, saya berjumpa dengan Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit Suryantoro Widiyanto serta Gabenor Kepulauan Riau H. Ansar Ahmad.
“Beberapa perkara dibincang termasuk meningkatkan kerjasama dua hala antara Johor dan Indonesia pasca pandemik Covid-19. Perkara ini dapat dicapai dengan mengukuhkan kesalinghubungan antara negeri ini dan Kepulauan Riau.
“Oleh itu, sebuah ‘task force’ akan ditubuhkan bagi memudahkan lagi perjalanan pelawat antara kedua-dua tempat ini dan ia bakal diterajui oleh tiga exco kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata, kerjasama juga akan ditingkatkan dalam menangani beberapa permasalahan, termasuk isu pengambilan tenaga kerja, sama ada untuk sektor domestik mahupun industri seperti pembuatan dan perladangan.
“Hubungan Johor dan Kepulauan Riau boleh dieratkan lagi menerusi sektor dagangan terutamanya industri halal. Ini termasuk pemprosesan makanan dan produk, pelancongan patuh syariah serta pelancongan kesihatan.
“Saya difahamkan Pulau Bintan juga mempunyai hab halal yang sudah pun menembusi pasaran Eropah. Dengan pasaran halal dunia yang besar, iaitu 1.9 bilion penganut Islam, kira-kira 231 juta Muslim adalah dari Indonesia.
“Permintaan produk halal oleh pengguna bukan Islam juga semakin meningkat. Justeru, saya melihat peluang dagangan bersama-sama Indonesia, khususnya Kepulauan Riau sebagai langkah strategik yang akan terus memanfaatkan ekonomi Johor pada masa akan datang,” jelasnya. –UTUSAN