KUALA PILAH: Seorang ibu tunggal dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini selepas mengaku bersalah menghisap dadah, Julai lalu.
Tertuduh, Norshahira Latif, 28, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.
Berdasarkan pertuduhan, pada 1 Julai lalu kira-kira pukul 8.25 malam bertempat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, didapati memberikan kepada diri sendiri dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Oleh itu, tertuduh melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun dan hendaklah dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi kemudiannya meminta Majistret memberikan hukuman setimpal memandangkan tertuduh mempunyai dua rekod lampau di bawah seksyen yang sama iaitu di Jempol pada tahun 2019 dan di Tampin pada tahun 2018 yang turut disabitkan kesalahan memiliki dadah
Sebelum itu, tertuduh dalam rayuannya memohon Majistret mengurangkan hukuman memandangkan dirinya berstatuskan ibu tunggal serta tidak bekerja.
Majistret kemudiannya menyatakan hukuman berat mesti dikenakan kepada tertuduh bagi memberi pengajaran.
“Tertuduh dijatuhkan hukuman bagi sabitan lampau. Ini menunjukkan orang kena tuduh (OKT) tidak insaf walaupun pernah dijatuhkan hukuman,” tegasnya.
Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara dan dua tahun pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). –UTUSAN