WATAK Hagrid lakonan pelakon, Robbie Coltrane dalam filem fiksyen Harry Potter pasti dirindui dan dikenang.
Pemergian pemilik nama lengkap, Anthony Robert McMillan ketika usia 72 tahun menjadi kehilangan terbesar dalam arena perfileman British.
Coltrane digelar sebagai pelakon yang mempunyai ‘bakat unik’ kerana wataknya sebagai Hagrid membawa keceriaan kepada kanak-kanak dan dewasa di seluruh dunia’.
“Bagi saya secara peribadi, mendiang akan diingati sebagai klien yang setia.
“Sebagai pelakon yang bijak dan hebat, sudah tentu saya akan merinduinya selepas 40 tahun menguruskan kerjayanya,” kata ejen, Belinda Wright.
Coltrane meninggal dunia di sebuah hospital di Falkirk, Scotland, minggu lalu.
Selain lakonan dalam produksi francais Harry Potter, Coltrane muncul dalam filem James Bond berjudul Goldeneye dan The World is not Enough.
Mendiang pernah mendapat anugerah Bafta Scotland kerana sumbangan luar biasa semasa filem 2011.
Dilahirkan dengan nama lengkap, Anthony Robert McMillan, Coltrane memulakan aktiviti lakonan pada usia 12 tahun dengan beraksi di pentas di Glenalmond College. Minatnya terhadap seni terserlah ketika dia bersekolah di Sekolah Seni Glasgow.
Coltrane memulakan langkahnya di televisyen dengan membintangi siri mini BBC, The Lost Tribe pada 1980 membawakan watak sebagai Border Guard.
Namanya mula melonjak selepas membintangi siri The Comic Strip, seterusnya membintangi filem seperti Alfresco (1983) dan Comic Strip The Supergrass (1985) dan The Pope Must Die (1991).
Coltrane berdepan masalah ketagihan arak dan pada 1986, dia terbang ke sebuah klinik di Mexico untuk mendapatkan rawatan kerana obesiti.
Kariernya mula memuncak pada awal 1990-an apabila memegang watak utama sebagai Dr. Eddie Fitzgerald dalam siri TV popular, Cracker (1993).
Penampilannya yang mengesankan dalam Golden Eye pada 1995, mendorong penerbit untuk memanggilnya kembali membawa watak Valentin Zukovsky dalam The World Is Not Enough.
Coltrane menjadi pilihan JK Rowling (penulis Harry Potter) untuk membawakan Rubeus Hagrid dalam filem Harry Potter.
Pemergian Coltrane dirasai bintang Harry Potter, Daniel Radcliffe yang menzahirkan penghargaan buat mendiang.
“Robbie adalah individu paling kelakar pernah saya jumpa dan sering membuatkan saya ketawa di set penggambaran semasa zaman kanak-kanak.
“Saya berasa sangat bertuah kerana dapat bertemu dan bekerja dengannya. Saya sedih kerana dia sudah meninggal dunia. Dia adalah pelakon yang luar biasa dan lelaki penyayang,” kongsinya.
Pelakon, Emma Watson meluahkan kerinduan mendalam terhadap peribadi mendiang yang begitu baik.
“Saya akan merindui kemesraan, kemanisan, nama panggilan, gelak tawa dan pelukan anda,” tulisnya di Instagram.
Menerusi ciapan Twitter, pengarang Harry Potter, JK Rowling menyifatkan Coltrane sebagai ‘bakat luar biasa’ yang pernah menyinar dalam industri perfilemen United Kingdom.-BBC










