GTA agih kerusi lepas Parlimen bubar - Utusan Malaysia

GTA agih kerusi lepas Parlimen bubar

KERATAN akhbar Utusan Malaysia, 19 September 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) hanya akan memutuskan pengagihan kerusi antara parti-parti komponennya selepas pengesahan rasmi pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan GTA, Datuk Nizam Mahshar berkata, ketika ini fokus utama gabu­ngan berkenaan ialah melengkapkan organisasi di peringkat negeri selepas pembentukannya di peringkat nasional.

“Ketika ini tarikh PRU15 masih menjadi tanda tanya, UMNO sendiri pun seperti dalam keadaan tidak bersedia dan ada percanggahan pendapat tentang PRU15. Jadi kita ambil pendekatan tunggu dan lihat bila tarikh sebenarnya nanti.

“Selepas itu, barulah GTA akan umumkan agihan kerusi antara komponen-komponen yang ada. Secara dasarnya sasaran sudah ada iaitu 120 kerusi Parlimen. Jadi kita akan lihat dan tapis calon yang layak,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas mengenai persediaan GTA menjelang PRU15 yang dijangka diadakan pada tahun ini selepas mengambil kira perkembangan politik semasa yang mahu mandat rakyat dikembalikan.

Spekulasi tarikh PRU15 semakin hangat susulan beberapa perkembangan yang menguatkan kemungkinan pembubaran Parlimen akan berlaku tidak lama lagi termasuk keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang mahu pilihan raya diadakan tahun ini.

SPEKULASI

Menguatkan lagi spekulasi PRU15 diadakan pada tahun ini apabila Perdana Menteri menga­dakan perbincangan dengan Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selama hampir lima jam kelmarin.

Mengulas lanjut Nizam berkata, GTA meletakkan kriteria pemilihan calon yang ketat bagi memastikan individu yang di­pilih mewakili parti terdiri daripada mereka yang berwibawa dan tidak terpalit dengan isu-isu integriti dan penyelewengan.

Dalam pada itu katanya, semua parti komponen, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli gabungan sudah bersetuju untuk menggunakan logo GTA dalam PRU15 dan ketika ini ia masih dalam proses permohonan dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Kita harap tidak ada campur tangan mana-mana pihak dalam permohonan GTA kepada RoS. Segala dokumen dan butiran yang diminta oleh jabatan itu sudah diberikan dan kita harap dapat kelulusan dalam masa terdekat,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN