ARAU: Perubahan landskap konsep francais ke arah digitalisasi kini menjadi keutamaan selaras dengan kemajuan ekonomi digital yang sedang berkembang.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kelebihan digitalisasi konsep francais mampu membolehkan interaksi perniagaan diperluaskan dengan pengguna dari seluruh dunia di samping melaksanakan digitalisasi dalam keseluruhan rantaian bekalan.
Titah baginda, ia bukan sahaja mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tetapi juga mewujudkan perniagaan-perniagaan sokongan seperti perkhidmatan penghantaran.
“Beta percaya kerajaan memandang serius dalam memastikan pembangunan pesat industri francais dan mengurangkan perbezaan jurang di dalam industri ini. Fokus utama ini akan menjana ekonomi negara dan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat.
“Idea dan input dalam membangunkan mikro francais dapat membantu merangka peningkatan tahap sosioekonomi golongan B40 ke M40 yang diharapkan akan menarik minat mereka untuk menceburi bidang perniagaan,” titah baginda.
WEBINAR
Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan sesi webinar Yayasan YTF bertajuk ‘Pendaftaran dan Pembangunan Perniagaan Francais’ yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama YTF di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azman Mohd. Yusof yang menginisiatifkan webinar pada kali ini turut diberi kesempatan menyampaikan amanat.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Penasihat Diraja Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) bertitah, baginda yakin penglibatan golongan masyarakat setempat dalam bidang perniagaan francais perlu dipertingkatkan dan disokong oleh pendekatan-pendekatan yang bersifat memudahcara serta meringankan.
Titah baginda, mereka yang telah berjaya dalam bidang tersebut diharapkan akan membantu rakan-rakan baharu atau sedang berkecimpung supaya lebih berdaya maju.
Perasmian penutup webinar tersebut disempurnakan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pengerusi YTF.- UTUSAN