Cikgu Mohd. Fadli terima keputusan tatatertib esok -

Cikgu Mohd. Fadli terima keputusan tatatertib esok

MOHD. Fadli Salleh bersama anak-anak muridnya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan hasil mesyuarat Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan yang bersidang hari ini akan diserahkan kepada cikgu Matematik, Mohd. Fadli Mohamed Salleh, esok. 

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, beliau baru dimaklumkan bahawa mesyuarat Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan baru tamat sebentar tadi di mana dokumen keputusannya akan diuruskan pihak urusetia lembaga itu. 

“Pihak urusetia di lembaga berkenaan akan sampaikan keputusan mesyuarat kepada ketua jabatan Mohd Fadli.

“Insya-Allah, esok beliau (Mohd Fadli) akan menerima keputusan itu,” katanya yang ditemui selepas menghadiri sesi pengenalan bersama jurulatih ternama dunia, Mr. Peter Walters ‘Mr Touch’ dari Auckland New Zealand di Sekolah Rendah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(1), di sini hari ini. 

Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali memaklumkan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan dijadualkan bersidang hari ini selepas setelah menerima surat representasi yang dikemukakan Mohd Fadli pada Jumaat lalu. 

Surat yang diterima Mohd Fadli tidak membawa maksud hukuman sudah dijatuhkan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan.

Sebelum ini, Mohd Fadli melalui laman media sosialnya mendakwa akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

Ketika ditanya sama ada hasil keputusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan boleh didedahkan, Radzi berkata, beliau tidak pasti perkara itu. 

“Saya akan periksa mengenainya nanti. 

“Malah, permintaan saya untuk mengadakan pertemuan dengan beliau juga belum mendapat maklum balas sama ada akan bertemu atau tidak,” katanya. 

Mengulas mengenai isu yang dibangkit Mohd Fadli, beliau berkata, ia sudah diambil tindakan kementeriannya seperti pada 6 Mac lalu, pihaknya memperkenalkan tujuh inisiatif bagi menangani perkara berkenaan antaranya penyusunan jadual waktu dan pemasangan lokar.

Katanya, bagi isu silibus di mana ia sudah diperkenalkan sejak 2017 selepas mengambil pandangan pelbagai pihak termasuk guru yang pakar dalam bidang masing-masing dan ibu bapa. 

“Ini bukan perkara baharu, bila sesuatu silibus itu diperkenalkan ia akan melalui satu pusingan, ia bermakna untuk sekolah rendah, silibus yang diperkenalkan pada tahun 2017 ini akan tamat pada 2022. 

“Jadi, murid darjah satu pada tahun 2017 itu naik ke darjah enam pada tahun 2022, ia dikira satu pusingan. Bagi sekolah menengah, pusingan bagi silibus yang diperkenalkan pada tahun sama tamat pada tahun 2021 kerana mereka sehingga tingkatan lima sahaja,” katanya bahawa KPM sentiasa terbuka dan ambil pandangan semua pihak berhubung isu silibus,” katanya. –UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya