PASIR SALAK: Cawangan UMNO Pasir Salak mahu penjelasan rasmi pucuk pimpinan parti mengenai pengantungan keahlian Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Beberapa ketua cawangan yang ditemui berkata, mereka masih tertanya-tanya mengenai kedudukan sebenar Tajuddin sama ada masih ahli UMNO atau sebaliknya.
Mereka berkata, penjelasan rasmi parti mengenai kedudukan Tajuddin cukup penting untuk parti terus bergerak dan membuat persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka boleh diadakan pada bila-bila masa.
Ketua UMNO Cawangan Batu Hitam, Mustafa Halim Abdul Manaf berkata, beliau dan ahli-ahli UMNO di sini masih tertanya-tanya mengenai kedudukan ketua mereka kerana tiada penjelasan rasmi parti setakat ini.
Katanya, mereka hanya mengetahui perkara itu menerusi laporan media dan perkara itu hangat diperkatakan oleh ahli dan pengundi di sini namun belum ada pengesahan.
“Kami perlu tahu kedudukan sebenar untuk parti terus bergerak apatah lagi PRU15 dikatakan akan diadakan pada bila-bila masa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
DIGANTUNG
Menurutnya, jika benar Ahli Parlimen Pasir Salak itu digantung keahliannya, beliau secara peribadi bersetuju menerima calon lain untuk bertanding di sini dan jika boleh calon tersebut dipilih atau dinamakan oleh Tajuddin sendiri.
Kata beliau, antanya ialah Naib Ketua UMNO Bahagian, Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Dr. Faizal Tajuddin yang juga anak Tajuddin.
“Saya secara peribadi setuju sekiranya calon pengganti Tajuddin terdiri daripada calon yang boleh menang termasuk anak beliau sendiri, Dr. Faizal yang merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian,” katanya.
Selain Dr. Faizal, seorang lagi anak Tajuddin, Datin Seri Rahayu adalah Setiausaha UMNO bahagian.
Ketua UMNO Cawangan Kepala Pulau, Mokhtar Idris berkata, penggantungan keahlian Tajuddin tidak diumumkan secara rasmi menyebabkan ahli parti di bahagian ini terus tertanya-tanya mengenai kedudukan ketua bahagian mereka.
“Kami masih tidak tahu kedudukan sebenar, belum ada surat rasmi atau apa-apa kenyataan rasmi mengatakan Tajuddin digantung, jadi perlu ada kenyataan rasmi,” katanya.
Menurutnya, ahli UMNO di sini kecewa jika benar Tajuddin digantung kerana bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu seorang yang berjasa kepada parti dan rakyat di sini.
“Biarpun mungkin beliau tidak lagi boleh bertanding dalam pilihan raya umum, kami tetap berpihak kepada beliau,” katanya.- UTUSAN











