GEORGE TOWN: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) secara serentak bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengelakkan pembaziran tenaga kerja, sumber material dan sumber sosial.
Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, penduduk negeri itu juga tidak melihat ada perbezaan dalam keputusan mengadakan pilihan raya umum berasingan ketika mereka masih perlu mengundi bagi Parlimen.
”Jika alasan tidak mengadakan pilihan raya negeri pada masa sama semata-mata untuk mengelakkan banjir dan tidak mengandungi agenda politik, maka orang ramai akan tertanya-tanya apa bezanya jika PH hanya menyertai pilihan raya Parlimen tetapi tidak menyertai pilihan raya negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga negeri di bawah PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak akan membubarkan DUN jika PRU-15 diadakan.
Bagaimanapun, semalam, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan, DAP Pulau Pinang meminta supaya PH mengkaji semula keputusan sebelum ini untuk tidak membubarkan DUN secara serentak.
Menurut Tong Keong, penduduk Pulau Pinang perlu diberi peluang adil untuk membangunkan sistem demokrasi mereka.
“Rakyat tidak perlu keluar mengundi untuk pilihan raya negeri dalam tempoh tiga atau beberapa bulan lagi, jadi DUN Pulau Pinang dan Parlimen Parlimen perlu mengadakan pilihan raya serentak,” katanya.
Tambahnya, banjir pada musim monsun pada setiap akhir tahun secara amnya lebih teruk di negeri-negeri Pantai Timur.
”Mungkin hujan akan berlaku di Pulau Pinang, tetapi ia tidak begitu serius sehingga pilihan raya tidak boleh diadakan,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, adalah kuasa mutlak Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya negeri.
”Hanya Ketua Menteri yang berkuasa menasihati Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang supaya membubarkan DUN, maka Kon Yeow tidak perlu patuh kepada keputusan Anwar atau PH,” katanya. –UTUSAN










